Soalan:
Adakah hari-hari tertentu untuk dipuasakan di dalam bulan Sya’ban?
Jawab:
الحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه، ومن اتبعه إلى يوم الدين، وبعد :
Bulan Sya’ban adalah di antara bulan-bulan yang dianjurkan oleh Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam untuk berpuasa lebih banyak dari bulan-bulan yang lain.
A’isyah r.a telah meriwayatkan bahawa Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam tidak pernah sekalipun melengkapkan puasa sebulan selain daripada Ramadan, berbeza dengan yang diamalkan oleh sesetengah orang ramai di beberapa negara Arab, yang mana mereka berpuasa selama tiga bulan, iaitu Rajab, Sya’ban dan Ramadan serta enam hari pada bulan Syawal. Maknanya, mereka berpuasa mulai bulan Rajab sampai 7 hari bulan Syawal kecuali hari pertama.
Puasa seperti itu tidak ada warid (datang) dari Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam, para Sahabat atau dari kalangan Tabiien.
Memang, Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam ada berpuasa pada setiap bulan, dan ’Aisyah r.a. berkata : “ Adalah Baginda sallallah ‘alaihi wa sallam berpuasa sehingga kami mengatakan bahawa Baginda tidak berbuka, dan Baginda juga berbuka, sehingga kami mengatakan bahawa Baginda tidak berpuasa, dan kadang-kadang Baginda berpuasa pada Isnin dan Khamis, dan kadang-kadang tiga hari setiap bulan khususnya Hari-Hari Putih, dan kadang-kadang Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Daud a.s. yang berpuasa selang sehari”.
Baginda sallallah ‘alaihi wa sallam paling banyak berpuasa pada bulan Sya’ban, seolah-olah sebagai persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan, namun begitu tiada sekalipun didapati bahawa Baginda berpuasa pada hari-hari yang tertentu.
Dalam syara’ tidak dibenarkan mengkhususkan hari-hari tertentu untuk berpuasa, atau mengkhususkan malam-malam tertentu untuk qiyam al-lail tanpa bersandarkan kepada syara’. Sesungguhnya perkara seperti ini tak seorangpun yang berhak, ia adalah hak syara’ secara mutlak untuk menentukan masa ataupun tempat untuk beribadat, sebagaimana hanya syara’ sahajalah yang berhak menentukan bentuk dan cara beribadah bukan hak manusia.
Wa Allah Ta’ala A’alam.
PUASA SYA'BAN
sabili, 02 August 2009
Labels:
Al-Qaradawi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

Comments :
Post a Comment