NISFU SYA'BAN


Soalan:
Apa hukum doa Nisfu Sya’ban? Adakah dalil mengenai malam nisfu Sya’ban daripada hadis-hadis yang sahih, begitu juga doa malam akhir Sya’ban?

Jawapan :
الحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه، ومن اتبعه إلى يوم الدين، وبعد
Malam nisfu Sya’ban, tidak ada satu hadispun yang sampai kepada darjat sahih mengenainya. Ada beberapa hadis yang dianggap oleh sebahagian ulama sebagai hadis hasan, sebahagian yang lain pula menolaknya dan mengatakan bahawa tidak ada satu hadis yang sahih mengenai nisfu Sya’ban,

dan jika kita katakan hadis itu hasan, maka semua yang datang (dalam hadis itu) hanya menerangkan bahawa Baginda berdoa pada malam tersebut dan meminta ampun (istighfar) kepada Allah ‘Azza Wa Jalla. Adapun bentuk doa tertentu tidak ada. Doa yang dibaca oleh sebahagian orang di sebahagian negara dan dicetak kemudian diedarkan adalah merupakan doa yang tiada asalnya dan salah serta tidak sejalan dengan nas-nas dan logik.

Kita dapati di dalam doa tersebut “ Ya Allah, seandainya Engkau telah tuliskan (tentukan) aku di sisi Engkau di Ummi Al-Kitab sebagai orang yang celaka atau orang dihalang atau orang yang ditolak atau orang yang diputuskan rezkinya, maka hapuskanlah dengan Kurnia-Mu kecelakaanku, halanganku, penolakanku dan putusnya rezkiku, dan tetapkan daku di sisi Engkau di Ummi Al-Kitab sebagai orang yang senang, diberi rezeki dan orang yang diberi taufiq untuk kebaikan keseluruhannya, kerana Engkau telah berkata dan sungguh perkataan Engkau adalah Haq, di dalam Kitab Engkau yang diturunkan dan melalui lisan Nabi Engkau yang diutus bahawa “ Allah menghapus apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ada Ummu Al-Kitab”

Nah, dalam ungkapan ini kita dapati percanggahan yang jelas, iaitu pada awalnya dia mengatakan “Jika Engkau tetapkan aku sebagai celaka atau terhalang (daripada rezeki) di sisi Engkau dalam ummu Al-Kitab…. Maka hapuskan ini dan tetapkan aku di sisi Engkau dalam ummu Al-Kitab sebagai orang yang bahagia lagi diberi rezeki bagi kebaikan-kebaikan kerana Engkau telah berkata dan sungguh perkataan Engkau adalah Haq, di dalam Kitab Engkau yang diturunkan dan melalui lisan Nabi Engkau yang diutus bahawa “Allah menghapus apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ada Ummu Al-Kitab”

Maka maksud ayat tersebut bahawa ummu Al-Kitab tidak ada penghapusan dan penetapan, jadi bagaimana dia memohon untuk dihapuskan dan ditetapkan dalam ummu Al-Kitab.

Kemudian ungkapan ini bercanggah dengan adab berdoa, kerana Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam bersabda “Jika kamu meminta kepada Allah maka mintalah dengan kepastian”. Oleh sebab itu jangan kamu berkata : “Ya Tuhanku ampunilah aku jika Engkah mau, atau sayangilah daku jika Engkau mau, atau berilah daku rezeki jika Engkau mau, kerana sesungguhnya tiada siapa yang memaksa Allah, tetapi sepatutnya dia mengatakan : “Ampunilah daku, sayangilah daku, dengan kepastian dan keyakinan, kerana demikianlah yang dituntut daripada sesiapa yang berdoa kepada Tuhannya ‘Azza Wa Jalla.

Adapun mengaitkan doa dengan “masyiah atau syarat” sebagaimana yang disebutkan tadi, maka ia bukan cara dan adab berdoa dan bukan cara seorang yang faqir yang rendah terhadap Tuhannya, tetapi ia adalah suatu cara yang lebih menyerupai gaya bahasa yang lemah (tidak fasih) yang tidak sesuai dalam pada kedudukan seperti ini dari seorang hamba Allah yang mukmin.
Hal ini menunjukkan bahawa doa-doa yang dicipta oleh manusia selalu kurang dalam mencapai makna sebenar, bahkan kadang-kadang terlari, salah dan bercanggah. Jadi sebenarnya tiadalah yang lebih baik dari doa-doa yang datang dari Rasulullah sallallah ‘alaihi wa sallam sendiri, kerana akan mendapat dua pahala, iatu pahala ittiba’ (mengikut Rasul sallallah ‘alaihi wa sallam) dan pahala zikir.

Kita sepatutnya sentiasa menghafaz dan berdoa denagn doa-doa Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam ini.

Adapun malam nisfu Sya’ban, kebanyakan perkara-perkara yang diamalkan padanya adalah tidak warid (datang dari Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam) dan tiada yang sahih, bahkan tiada langsung dari sunnah sedikitpun.
Saya teringat semasa saya masih kecil berada bersama orang ramai, kami sembahayang dua rakaat dengat niat panjang umur, dan dua rakaat lagi dengan niat menjadi kaya, kemudian membaca surah Yasin kemudian sembahayang dua rakaat dan yang lain-lain lagi.

Semua ibadah-ibadah ini tidak diperintahkan oleh syara’, sedangkan asas dalam beribadat adalah dilarang, dan manusia tidak boleh mencipta apa yang dia mau dalam ibadahnya, kerana yang berhak dijadikan ibadah dan menentukan cara ibadah itu adalah Allah Azza Wa Jalla “Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?” (Q.S.Al-Syu’ara:21)

Oleh sebab itu kita mestilah sentiasa berpegang kepada apa yang datang (dari Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam) dan tidak melakukan lebih dari doa yang maktsur (yang datang dari Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam) itulah yang baik.
Wa Allah A’alam

Diterjemah dari website: http://www.qaradawi.net
Sila baca lagi di http://drmaza.com/home/?p=646

Note:
Bagi sahabat-sahabat yang ingin merujuk kitab Al-Syafi'iyah sila rujuk kitab (Nihayatu Al-Muhtaj : jld.2.m/s.124) di sana dikatakan bahawa "Solat Al-Raghaib malam Jumaat pertama bulan Rajab dan Nisfu Sya'ban adalah (kedua-duanya) bid'ah yang buruk lagi dicela, dan hadisnya adalah batal"

Comments :

0 comments to “NISFU SYA'BAN”

Post a Comment