Tulisan-tulisan pada saat akhir kehidupan Syed Qutub jelas menunjukkan bahawa beliau terkeluar dari Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jamaah dari aspek manapun khasnya dari aspek “takfir” atau mengkafirkan, dan seandainya beliau masih hidup nescaya beliau akan rujuk kembali dari masalah ini, walaupun beliau pada masa yang sama adalah dianggap sebagai seorang alim yang agung yang sanggup menggadaikan batang lehernya sebagai bayaran bagi dakwahnya di jalan Allah. Demikian pandangan Al-‘Allamah DR.Yusuf Al-Qaradawi di websitenya yang bertarikh 08/09/2009.
Al-Qaradawi mengatakan bahawa Ahlu Al-Sunnah Wa Al-Jamaah sentiasa berhati-hati dalam masalah mentakfir ini, walaupun terhadap kaum Al-Khawarij sekalipun, Ahlu Al-Sunnah Wa Al-Jamaah tidak mengkafirkan kecuali dengan dalil-dalil yang pasti yang menunjukkan seseorang itu benar-benar telah terkeluar dari agama Islam.
Beliau juga yakin bahawa Al-Utaz Syed Qutub dalam hal ini telah tersasar dari jalan Ahlu Al-Sunnah Wa Al-Jamaah yang sebenar. Hal itu, menurut beliau, berpunca dari beberapa sebab, di antaranya yang sangat jelas ialah disebabkan karya-karyanya ditulis semasa berada dalam penjara, yang mana dia berpendapat bahawa kerajaan yang telah bekerja sama dengan Komunis pada masa itu telah jauh daripada Islam.
Walaupun demikian, Al-Qaradawi beranggapan seandainya Syed Qutub ditakdirkan masih hidup dan membincangkan idea-idea pentakfiran ini dengan orang ramai nescaya dia akan rujuk kembali daripada pendangan-pandangan tersebut.
Hubungan Syed Qutub dengan Al-Ikhwan Al-Muslimin.
Al-Qaradawi juga menyatakan bahawa Syed Qutub adalah sebahagian dari kalangan orang yang mengkagumi Al-Imam Hasan Al-Banna pengasas Gerakan Al-Ikhwan Al-Muslimin, dan dia pernah menulis dalam makalahnya “Hasan Al-Banna Wa “abqariyyatuh” (Hasan Al-Banna Dan Kecerdasannya) yang mana di dalamnya beliau menerangkan kehebatan Al-Banna dari sudut pentadbiran untuk mendirikan Gerakan Al-Ikhwan Al-Muslimin.
Namun demikian Syed Qutub tidak pernah menukil pemikiran Al-Banna dibandingkan dengan nukilannya dari Al-Syeikh Abu Al-‘Ala Al-Maududi, sebab Syed Qutub sangat terpengaruh dengan Al-Maududi dan beliau mengambil fikrahnya dari hal “Al-Hakimiyyah dan Al-Jahiliyyah”, cuma saja Syed Qutub pada akhirnya mengemukakan pandangannya sendiri mengenai idea mentakfir dan menjahiliyahkan masyarakat yang sangat bertolak belakang dengan pandangan Al-Maududi.
Al-Qaradawi lebih lanjut menjelaskan bahawa idea Hakimiyah adalah jelas dan terang dan ia merupakan idea Islam yang tulen, dengan syarat rujukannya mestilah Syariat Islamiyah, bahkan Al-Imam Al-Gahzali dan ulama-ulama Islam yang lain juga ada membincangkannya.
Adapun masalah “Jahiliyah”, Syed Qutub berhujjah dengan dalil yang bercanggah secara keseluruhan ataupun secara rincinya dengan Al-Quran Al-Karim, sebagaimana yang dapat dilihat dari karya Syed Qutub dalam kitabnya “Ma’alim Fi Al-Tariq” yang menganggap bahawa masyarakat pada asasnya tidak muslim, dan tugas para muslih ialah mengembalikan manusia ini kepada aqidah Islam yang sahih dan bersyahadah bahawa “La Ilaha Illa Allah dan Muhammad Adalah Rasul Allah” terlebih dahulu.
Al-Qaradawi lebih lanjut menekankan bahawa Syed Qutub telah tersilap dalam hal mentakfir keseluruhan orang Islam, bukan sekedar mengenai hakim-hakim dan undang-undang. Sehubungan dengan itu Syed Qutub mesti bertanggung jawab atas inpak takfir ini. Beliau telah mengambil idea-idea Al-Maududi dan menambah kesimpulan-kesimpulan yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran Al-Maududi sendiri, sama halnya dengan yang berlaku pada Syukri Mustafa dan lain-lain, yang mana Syukri memetik pemikiran Syed Qutub dan membuat kesimpulan-kesimpulan yang tak terlintas dalam pemikiran Syed Qutub sendiri, seperti menganggap bahawa hanya Jamaah Al-Muslimin sahaja yang muslim, adapun yang lain daripada kelompok mereka adalah kafir belaka.
Apa Yang Menjadi Problem?
Pada masa yang sama Al-Qaradawi menafikan bahawa penyaksiannya terhadap Syed Qutub adalah sebagai memfitnahnya, sambil menegaskan bahawa ia adalah penghukuman ke atas sesorang berdasarkan percakapan dan teks-teks yang ada dalam tulisannya, hal ini untuk menolak apa yang dikatakan oleh Doktor Mahmood Ezat Setia Usaha Agung Jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimin bahawa kesalahan berpunca dari orang yang membaca pemikiran Syed Qutub, bukan tulisannya.
Al-Qaradawi mengaskan lagi bahawa ungkapan yang dikutipnya dari Syed Qutub mengenai masalah “takfir” adalah jelas dan tidak perlu kepada penafsiran berdasarkan apa yang diriwayatkannya dari Doktor Muhammad Abdullah Al-Mahdi yang dipenjarakan pada tahun 1965, beliau telah menegaskan bahawa Syed Qutub telah mengakui mengenai karya-karya yang ditulisnya pada fasa pertama kehidupannya, seperti “Al-‘Adalah al-Ijtima’iyah Fi Al-Islam” dan “Al-Salam Al-‘Alami Al-Islami” serta “Masyahid Al-Qiyamah Fi Al-Quran” semuanya tidak menggambarkan pemikiran dan mazhabnya yang baru, tetapi pemikiran yang dianutnya ialah semua yang ditulisnya dalam karya-karyanya yang akhir semasa dalam penjara, sepeti “Ma’alim Fi Al-Tariq” dan “Fi Al-Zilal” cetakan kedua serta “Haza Al-Din” dan “Al-Islam Wa Musykilat Al-Hadharah”
Pada perbincangan yang diadakan dalam penjara itu, Syed Qutub mengakui bahawa beliau mempunyai dua mazhab (aliran pemikiran); baru dan lama, tepat macam Al-Imam Al-Syafie, cuma saja Al-Syafie berubah dalam furu’(cabang), adapun dia mengubahnya dalam hal usul (pokok) iaitu usul aqidah. Nah, di sinilah problemnya, kata Al-Qaradawi.
Sesiapa yang memperhatikan karya-karya Syed Qutub, akan mengetahui secara pasti bahawa beliau telah melampau dalam masalah takfir, sambung Al-Qaradawi lagi, sambil menegaskan bahawa manhaj Syed Qutub bukan manhaj Al-Ikhwan Al-Muslimin yang telah ditetapkan oleh Al-Imam Al-Banna sebagai asasnya dalam “Al-Usul Al-‘Isyrin” (20 Asas) dan Syed Qutub tidak pernah hidup dan dididik di atas tikar Jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimin, walaupun pernah berada dalam barisan jamaah yang sedikit sebelum dia masuk penjara, dan di dalam penjara itulah muncul perubahan-perubahan dan pengaruh-pengaruh yang besar.
Al-Qaradawi mengatakan lagi bahawa yang mustahak bukan menetapkan samada Syed Qutub adalah dari kelompok Al-Ikhwan Al-Muslimin atau dari kelompok lain, tapi yang penting ialah pemikirannya, dan kita menghukum pemikiran, dan yang bertanggung jawab terhadap pemikiran itu adalah orang yang empunya pemikiran, bukan Al-Ikhwan, dan saya berpendapat bahawa pandangan-pandangan tersebut tidak sesuai dengan pandangan Al-Ikhwan Al-Muslimin, sebab pandangan Al-Ikhwan tidak ada takfir.
Akhirnya Al-Qaradawi menjelaskan bahawa penyaksian dan percanggahannya dengan Syed Qutub dalam masalah takfir ini tidak menghalangnya untuk mengatakan bahawa Syed Qutub adalah seorang sastrawan agung jika diukur dari sudut ketajamnnnya memberi komen sastra, dan sebagai pendakwah yang ulung, serta sebagai seorang alim dan pemikir yang hebat, di samping itu beliau juga adalah seorang muslim yang memanfaatkan kehebatnnya itu, tidak terbatas pada pemikiran sahaja, tetapi juga pengorbanan dirinya sehingga sanggup menjual batang lehernya sebagai bayaran bagi dakwah fi sabilillahnya.
Demikian pandangan Al-Qaradawi, namun begitu, untuk pedoman kepada kita sebagai generasi masa kini dan generasi penerus, ambillah hikmah itu dari manapun datangnya, ambil yang baik dan buang yang keruh, sebab selama bernama manusia, maka kita tidak terlepas daripada salah dan silap, pendapat setiap manusia boleh diambil dan boleh juga ditolak, kecuali Rasul sallallah 'alaihi wa sallam.
Fikir-fikirlah sendiri....
APA KATA AL-QARADAWI TENTANG SYED QUTUB?
sabili, 12 August 2009
Labels:
Al-Qaradawi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

salam ustaz,
mungkin enta tak ingat ke ana, ana Mohd Azmir, anak murid ustaz dari 2003-2005, sekarang ana di Australia, sambung kuliah B.Ed TESOL.
ana setuju dengan khulasah yang enta berikan, bahawasanya manusia itu terkenal dengan kebolehlakuan pada kesilapan, dalam usul 'isyriin sekalipun ada menyatakan pendapat manusia boleh diterima dan ditolak melainkan ianya datang dari nabi SAW. maka yang baik kita ambil sebagai panduan, yang buruk kita jadikan sempadan.
jzkk atas perkongsian.
...Ini benda baru bagi ana Time Kasih....