MARHABAN YA MUTHAHHIR

Allah swt. telah mewajibkan puasa kepada manusia sejak dahulu lagi sampailah kepada ummat ini, menurut sebahagian ahli tafsir mengatakan sejak dari Nabi Adam as. lagi puasa memang telah difardhukan (lihat Tafsir Al-Baidhawi dan Al-Zamakhsyari ketika mentafsirkan "sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu").

Allah swt. tidak mewajibkan suatu perkara ke atas manusia kecuali kerana ada hikmahnya yang agung dan rahsianya yang tinggi untuk manusia itu sendiri, samada mereka mengetahui atau tidak.

Oleh sebab itu sangat wajar bagi kita untuk mengetahui hikmah-hikmah dan rahsia-rahsia tersebut, supaya kita dapat melaksanakan puasa ini dengan penuh keyakinan diri, di samping dapat melaksanakannya sebagaimana yang dikehendaki Allah, bukan sebagaimana yang dikehendaki oleh selera manusia.


Di antara hikmah puasa adalah sebagai berikut:

1- Memperkuat ruh.

Kita sedia maklum, bahawa manusia bukanlah sekedar makhluq yang hanya terdiri dari batang tubuh sahaja, yang terhimpun dari daging, darah, tulang, urat-urat dan sebagainya. Kalau hanya itulah manusia ini, alangkah hinanya dia… alangkah kecilnya dia, sebab gajah jauh lebih kuat dan lebih besar daripadanya. (Rujuk Al-Ibadah Fi Al-Islam Al-Qaradawi:273)

Bahkan Iblis tidak mahu sujud sebagaimana diperintah oleh Allah swt. kerana Iblis melihat dari sudut jasad manusia tadi.

Sebenarnya manusia lebih dari itu, manusia adalah gabungan daripada ruh yang bersifat samawi (langit) dan jasad yang bersifat ardhi (bumi). Jadi hakikat kehebatan manusia itu terletak pada ruh sebagai tuan, yang mendiami jasad sebagai rumah, ruh sebagai penunggang dan jasad sebagai kenderaan. (Al-Qaradawi)

Nah… di sinilah rahsia mengapa malaikat sujud kepada Adam, mereka melihat dari sudut yang Iblis terlepas pandang, iaitu ruh yang ditiupkan kepadanya, sebagaimana firman Allah swt. :

"(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah". Maka apabila Telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; Maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya". (Q.S.Sad:71-72)

Jadi, alangkah malangnya manusia ini, jika dia mengabaikan ruhnya kerana sangat mengambil berat terhadap jasadnya, membiarkan jiwa sebagai penunggang diperhamba oleh jasad sebagai kenderaan, mengabaikan ruh tapi menyembah jasad, bertungkus lumus bekerja hanya untuk memenuhi keperluan jasad semata, sangat rajin melayan keinginan dunia, hidup di sekitar perut dan kemaluan sahaja. Mereka inilah yang disifatkan Allah swt. di dalam firman-Nya:

“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)” (Q.S.Al-Furqan:43-44)

Dengan puasa Allah swt. melatih manusia agar dapat membersih dan membebaskan ruhnya daripada penguasaan dan cengkaman hawa nafsu, keluar daripada penjara jasadnya, melawan keinginan yang paling kuat yang ada di dalamnya, iaitu kehendak perut untuk makan dan minum, serta keinginan sex untuk melakukan hubungan intim dengan lawan jenisnya, semua itu dilakukan kerana menjunjung perintah Allah swt. Sehingga pada akhirnya manusia boleh menjadi seperti malaikat dari segi tabiat, pemikiran yang penuh dengan cahaya Ilahi dan akhlaq yang bersifat rabbani.

Dengan puasa manusia dapat merasakan kemanisan ibadah, keseronokan wara’, dan dapat merasakan bahawa dia dekat kepada Rab Yang Maha Suci.

Jika kita telusuri Al-Quran, setelah mewajibkan puasa pada Surah Al-Baqarah ayat 183 serta hukum hakam puasa pada ayat 184 – 185, maka pada ayat 186 Allah berfirman :

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”.

Seolah-olah susunan ayat-ayat tersebut memberi isyarat bahawa jika manusia telah berpuasa dengan baik, maka dia sudah layak dan bersedia untuk bermunajat dan meminta kepada Rabnya.

Sama halnya sebagaimana Al-Quran menyebut, ketika Allah hendak berkata-kata kepada Nabi Musa, terlebih dahulu dipersiapkan untuk maqam yang sangat tinggi ini dengan memerintahkan Nabi Musa berpuasa selama 30 hari dan ditambah dengan 10 hari lagi,
agar Musa dapat bertahan dan kuat untuk menerima Nur Rabbani. Allah berfirman :

“Dan Telah kami janjikan kepada Musa (memberikan Taurat) sesudah berlalu waktu tiga puluh malam, dan kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi), Maka sempurnalah waktu yang Telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam” (Q.S.Al-A’raf:142)

Setelah itu Allah mencurahkan Cahaya Ilahiyah kepada Nabi Musa dan Allah berkata-kata kepadanya tanpa perantara, sebagaimana firman Allah:

“Allah berfirman: "Hai Musa, Sesungguhnya Aku memilih (melebihkan) kamu dan manusia yang lain (di masamu) untuk membawa risalah-Ku dan untuk berbicara langsung dengan-Ku, sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur." (Q.S.Al-A’raf:144)

Nah, daripada penjelasan tersebut kita dapat merasakan bahawa di sana ada hubung kait puasa Ramadan dengan penurunan Wahyu Ilahi kepada Nabi Muhammad saw. Allah berfirman:

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)” (Q.S.Al-Baqarah:185)

Jadi bukanlah suatu yang ajaib, jika ruh orang yang berpuasa dapat naik dan mendekat kepada alam yang paling tinggi, dapat mengetuk pintu langit dengan doanya lalu dibukakan, meminta kepada Tuhannya lalu diperkenankan dan diseru “Ya, Aku perkenankan wahai hamba-Ku”. Rasul saw. mengatakan “Ada tiga orang tidak akan ditolak doanya; doa orang yang puasa sehingga dia berbuka, doa Imam (pemimpin) yang adil, doa orang yang dizalimi” (H.R.Al-Tirmizi).

Semua itu tidak lain dan tidak bukan kecuali kerana ruh orang yang berpuasa sudah menduduki tempat yang khusus dan istimewa di sisi Allah swt. Itulah yang disebut sebagai “taqwa” dalam Surah Al-Baqarah:183 yang merupakan matlamat daripada pengwajipan berpuasa.

Mari kita bertanya sejenak, di manakah kedudukan puasa kita selama ini? Kita berpuasa tetapi kita masih mengabaikan hal-hal yang bersifat penyucian rohani untuk meninggi dan menguatkan ruh, puasa kita seolah-olah masih membuat kita tetap terpacak di bumi ini, masih berselera tinggi bila mengunjungi bazar Ramadan, yang kekadang bajet bulan Ramadan lebih besar dibandingkan dengan bajet bulan-bulan biasa… Itu berpuas bukan berpuasa namanya….

Lidah kita tetap kering dari mengingat Allah dengan berzikir atau membaca Al-Quran, malah lebih daripada itu, kita masih sahaja seronok menyebut-nyebut keburukan orang lain, mengumpat, memfitnah dan yang serupa itu.

Berpuasa dengan melengah-lengahkannya dengan menonton filem-filem yang dihidangkan di kaca tv yang tidak berfaedah untuk dunia ataupun akhirat kita .

Pada hal Rasul Sallallah 'alaihi wa sallam ada mengatakan :

"من لم يدع قول الزور والعمل به والجهل فليس لله حاجة أن يدع طعامه وشرابه"

"Sesiapa yang tidak meninggalkan bohong dan bekerja dengan bohong dan kerja jahil, maka Allah tidak memerlukan dia meninggalkan makan dan minumnya itu" (H.R.Al-Bukhari)

Maksud arahan Nabi Sallallah 'alaihi wa sallam ini ialah bahawa matlamat puasa itu bukan sekedar tidak makan dan tidak minum sahaja, tapi lebih daripada itu, mestilah diiringi dengan melawan dan menghalang syahwat daripada menguasai ruh, meredam potensi emosi dan mengarahkan nafsu Al-Ammarah Bi Al-Suk untuk taat kepada Allah, jadi jika hal tidak dicapai oleh orang yang berpuasa, maka Allah swt tidak mempedulikan puasanya dan tidak menerimanya sama sekali.

Kerja-kerja jahil itu ialah membuat suatu tindakan yang tidak membawa manfaat dunia dan akhirat, seperti duduk sepanjang masa di depan tv menonton cerita-cerita karut, khurafat,kartun, lucah dan yang sewaktu dengannya.

Untuk itu mari kita berazam dan memohon kepada Allah, agar tahun ini kita dapat menjalankan ibadah puasa sesuai dengan kehendak-Nya bukan dengan kehendak kita.

Bersambung……

2- Memperkuat tubuh

Puasa, sebagaimana ia merupakan peluang bagi kita mempekuat ruh, ia juga memberi kita peluang untuk memperkuat badan. Kerana kebanyakan penyakit yang menimpa manusia adalah berpunca daripada perut yang sentiasa diasak dengan berbagai makanan yang menyelerakan tanpa memikirkan batas-batas yang sepatutnya.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam bahawa “Tiada bekas yang paling berbahaya untuk dipenuhi selain perut” (Maksud Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Jadi jika perut adalah sumber penyakit, maka berpantang – dengan cara tidak makan atau diet – adalah cara yang sangat sesuai untuk pengubatan, selaras dengan sabda Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam ” Berpuasalah, kamu akan sihat” (H.R. Al-Thabrani)

Secara dasarnya puasa adalah salah satu proses detoksifikasi (detoxification process) yang baik, iaitu mencuci dan membersihkan badan daripada racun ataupun toksin. DR. Lonny J.Brown (Ph.D) dalam Adventures In Therapeutic Fasting mengatakan “Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini adalah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat bagi meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya bagi kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa semasa sakit” (lihat Quran Saintifik oleh Dr.Danial Zainal Abidin:292)

Lebih lanjut DR.Danial Zainal Abidin mengatakan “Semasa berpuasa organ-organ dapat berehat, dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan bagi pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mhatma Gandhi sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelabagai penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit”

Di dalam kitab Mausu’ah Al-‘Ijaz Al-‘Ilmi oleh Yusuf Al-Haj Ahmad lebih terperinci dikatakan bahawa :

“Kajian membuktikan bahawa puasa memiliki sejumlah manfaat pencegah terhadap berbagai penyakit fizikal dan mental, antara lain sebagai berikut:

1- Memperkuat sistem imuniti (kekebalan tubuh) sehingga tubuh selalu menyaring berbagai penyakit. Indikator fungsional sel-sel limpa pun semakin membaik sepuluh kali ganda. Peratusan sel yang bertanggungjawab atas kekebalan kualitatif juga semakin bertambah. Beberapa jenis zat antibodi dalam tubuh juga meningkat. Respon kekebalan sebagai tindakbalas peningkatan (LDL) pun bertambah.

2- Melindungi tubuh dari obesiti dengan segala risiko dan bahayanya. Sudah menjadi kayakinan awam bahawa disamping sebagai akibat gangguan pada sistem asimilasi makanan, obesiti juga kadang-kadang disebabkan oleh tekanan persekitaran, psikologis, mahupun sosial. Bahkan keseluruhan faktor-faktor ini kadang-kadang bersatu dalam menyebabkan obesiti. Kecelaruan fikiran dan psikologi menyebabkan ketidakteraturan asimilasi makanan, sehingga kemudian terjadi obesiti yang boleh dicegah dengan terapi puasa. Melalui stabiliti jiwa dan fikiran yang diperoleh dengan puasa sebagai tindakbalas logik dari menebalnya atmosfera keimanan yang menyelubungi orang yang berpuasa juga meningkatnya intensif peribadatan selama puasa: zikir, tadarus al-Quran, infaq di jalan Allah, menghindari perkelahian, mengawal nafsu serta keinginan positif dan yang berguna. Ditambah lagi dengan kesan puasa yang ideal dalam mengikis lemak-lemak yang tersimpan dan melindungi tubuh dari risiko penyakit-penyakit obesiti, seperti penyakit-penyakit yang menyerang jantung, arteri seperti gangguan jantung, serangan jantung dan penyumabatan pembuluh darah di sekitar jantung (thrombosis), juga penyakit penebalan pembuluh nadi.

3- Melindungi tubuh dari terbentuknya batu-bantu ginjal. Sebab puasa menaikkan kadar sodium di dalam darah, sehingga iapun boleh mencegah pengkristalan garam kalsium. Bertambahnya zat urea dalam urin selama puasa juga membantu menghalangi sedimentasi garam-garam urin yang membentuk batu-batu karang di pundi air kencing.

4- Membersih tubuh dari bahaya racun yang menggumpal di dalam sel-sel atau jaringannya akibat pemakanan makanan yang diawetkan atau yang dikilangkan, juga pengambilan ubat-ubatan.

5- Mengurangkan gairah seksual, terutama di kalangan pemuda. Dengan demikian, tubuhpun bebas dari berbagai gangguan mental ataupun fizikal, dan penyimpangan-penyimpangan perilaku, sebagaimana yang dikatakan oleh Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam: “Wahai sekalian pemuda, siapa yang mampu di antara kamu menanggung biaya nikah, maka segeralah nikah. Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, sebab puasa adalah ubat penawar nafsu baginya.” Hal ini disebabkan buah pelir (testis) merupakan tempat produksi faktor-faktor perangsang seksual, sabab di dalamnya terkandung sel-sel tertentu yang membentuk hormon testosterone, iaitu hormon yang menggerakkan dan membangkitkan gairah seksual. Jadi dengan puasa boleh menekan dan mengurangkan dorongan seksual.


Comments :

0 comments to “MARHABAN YA MUTHAHHIR”

Post a Comment