SOLAT TARAWIH 20 ATAU 8 RAKAAT ?

Solalan:
Apa pandangan Fuqaha tentang solat Tarawih, adakah ia 20, atau 8 rakaat sebagai sunnah ? Jika sunnah 8 rakaat, kenapa dibuat 20 rakaat di Masjid Al-Nabawi Al- Syarif, kemudian orang awam menjadikannya sebagai dalil bahawa sunnah solat tarawih adalah 20 rakaat.


Jawapan:
Solat Tarawih adalah suatu amalan sunat yang telah disunnah (disyariat)kan oleh Rasulullah Sallallah ‘alihi wa sallam. Sesungguhnya dalil-dalil telah menunjukkan bahawa Rasulullah Sallallah ‘alihi wa sallam tidak pernah menambah lebih daripada 11 (sebelas) rakaat pada bulan Ramadan ataupun selain Ramadan.

Abu Salamah pernah bertanya kepada Aisyah R.A tentang bagaimana solat Rasulullah Sallallah ‘alihi wa sallam pada bulan Ramadan, Aisyah menjawab “Tidak pernah Baginda menambah pada Ramadan dan tidak pada bulan lainnya lebih dari sebelas rakaat, Baginda solat empat rakaat, jangan tanya tentang baik dan panjangnya rakaat-rakat tersebut, kemudian Baginda solat empat rakaat lagi, jangan tanya tentang baik dan panjangnya rakaat-rakaat itu, kemudian Baginda solat tiga rakaat”, Aisyah kemudian berkata “Ya Rasulallah, adakah engkau tidur sebelum engkau mengerjakan witir?”, Baginda menjawab: “Sesungguhnya kedua mataku tidur, namun hatiku tidak tidur” (H.R.Al-Bukhari dan Muslim)

Ada juga riwayat (tsabit) bahawa Rasulullah Sallallah ‘alihi wa sallam solat pada sebahagian malam tiga belas rakaat, maka oleh itu mestilah memahami hadis Aisyah R.A.tadi iaitu “Tidak pernah Baginda menambah pada Ramadan dan tidak pada bulan lainnya lebih dari sebelas rakaat” dengan makna (Al-Aghlab atau kebanyakannya) supaya dapat menggabungkan hadis-hadis tersebut, dan tiada mengapa lebih daripada itu, kerana Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa sallam tidak pernahpun menghad (membatasi) solat malam, bahkan semasa Baginda ditanya mengenai solat malam, Baginda Sallallahu ‘Alaihi wa sallam menjawab: “مثنى مثنى iaitu dua, dua rakaat, maka jika di antara kamu takut (khawatir) ketibaan subuh, hendaklah dia solat satu rakaat sebagai witir bagi solat yang telah dikerjakannya” (H.Muttafaq ‘Alaih).

Jadi tiada had dan batas, sebelas rakaat atau yang lain, maka hal ini menunjukkan keluasan untuk solat malam pada Ramadan atau selain Ramadan.

وبالله التوفيق وصلى الله على نبينا محمد وآله وصحبه وسلم.
اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء

Diterjemah dari: laman web Dewan Fatwa Kerajaan Arab Saudi(http://www.alifta.com/Fatawa/FatawaChapters.aspx?View=Page&PageID=33&PageNo=1&BookID=12)

Demikian sebagai jawapan bagi sdri Ilani mengenai solat tarawih yang bagaimana mengikut syariat Nabi Sallallah 'alaihi wa sallam.

Sebenarnya, hal ini sudah diketahui oleh orang ramai, namun dalam pelaksaannya masih belum kelihatan di banyak masjid dan surau di tempat kita, yang mana solat tarawih masih dilakukan dengan tergesa-gesa, Al-Fatihah dibaca dengan satu nafas, ayat-ayat tidak dibaca dengan sempurna dari sudut tajwid dan makhraj dan banyak lagi yang senada dengannya.

Aisyah R.A mengatakan "jangan tanya tentang baik dan panjangnya rakaat-rakat tersebut", memang, Rasul Sallallah 'alaihi wa sallam solat lapan rakaat, tapi lihatlah bagaimana Baginda menjaga keindahan solat itu, khasnya ketika membaca Al-Fatihah, banyak diriwayatkan bahawa Baginda membacanya dengan cara berhenti di setiap ujung ayat.

Mungkin Imam di tempat kita ada jawapan tersendiri, di antaranya; jamaah akan lari jika baca ayat panjang-panjang.

Nah lihatlah, Imam terpaksa mengikut makmum, terbalik dari yang sepatutnya, iaitu makmumlah yang mesti mengikut imam. Ayat tidaklah semestinya panjang, yang lebih penting daripada itu ialah membaca Al-Fatihah dengan baik dan sempurna, ruku' dan sujud janganlah seperti ayam mematuk padi, di samping mencuri bacaan i'itidal dan bacaan salawat dalam tasyahhud.

Tapi jika dilihat bacaan salawat dan doa selepas salam yang tiada dalam sunnahpun dibaca dengan panjangnya. Pada hal salawat dan doa-doa dalam solat adalah jauh lebih penting, bahkan solat itu sendiri adalah doa (Al-Solah Al-Dua'), tapi itulah yang orang ramai terlepas pandang, kadang-kadang doa selepas solat tersebut masih banyak yang tidak difahami maknanya, hatta imam sendiripun selalu membaca dengan tersasul kerana memang tak faham apa yang dia baca.

Itulah...
Yang penting tak diendahkan, yang tak indah dilebih-lebihkan.

Oleh itu, marilah kita bersama berusaha mengembalikan keadaan ini kepada sunnah Rasul Sallallah 'alaihi wa sallam, sebab yang sunnah itu adalah indah.
Wa Billah Al-Taufiq

Baca Sepenuhnya/Read Full Post...

BAHAYA MELAMPAU

Allah swt. melarang manusia bertindak ghuluw (berlebihan atau melampau) dalam segala hal, di antaranya memuliakan seseorang, samada Rasul, orang ‘alim, orang salih, wali atau sesiapa sahaja.
Kerana sikap ghuluw ini boleh menyebabkan seseorang itu dimuliakan dan ditempatkan lebih tinggi daripada kedudukan yang dianugerahkan Allah untuknya.


Jika seorang Nabi yang seharusnya hanya sebagai seorang hamba Allah dan Rasul-Nya, lalu dimuliakan sehingga dianggap sebagai tuhan, sebagai sumber kekuatan, memberi manfaat dan mencegah mudarat; ini boleh membawa kepada kekufuran yang nyata tanpa disengaja. Karena hanya Allah sumber kekuatan, hanya Allah yang mendatangkan manfaat dan mencegah mudarat, bukan yang lain daripada-Nya.

Sikap ghuluw inilah yang pertama kali menyebabkan kemunculan syirik pada kaum Nabi Nuh (a.s), sebagaimana hal ini juga pernah terjadi pada agama Yahudi, yang menganggap Uzair sebagai anak Allah, dan agama Nasrani yang memuliakan Isa anak Maryam sebagai anak Allah. Maha suci Allah dari semua yang mereka sifatkan itu.

Sikap ghuluw ini pulalah yang telah menyebabkan sebahagian kaum Muslimin memuji Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan bershalawat dengan shalawat-shalawat melampau, memuliakan Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan berlebihan. Sikap berlebihan ini boleh menyebabkan ramai kaum Muslimin terkeluar dari jalan sebenar yang dikehendaki oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri.

Allah telah memperingatkan dengan terang dan jelas sikap berlebihan ini. Mari kita perhatikan dengan saksama Firman Allah Ta’ala terhadap Ahli Kitab, yang juga sebagai peringatan kepada kita semua di bawah ini.

َيا أَهْلَ الْكِتَابِ لاَ تَغْلُواْ فِي دِينِكُمْ وَلاَ تَقُولُواْ عَلَى اللّهِ إِلاَّ الْحَقِّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِّنْهُ فَآمِنُواْ بِاللّهِ وَرُسُلِهِ وَلاَ تَقُولُواْ ثَلاَثَةٌ انتَهُواْ خَيْراً لَّكُمْ إِنَّمَا اللّهُ إِلَـهٌ وَاحِدٌ سُبْحَانَهُ أَن يَكُونَ لَهُ وَلَدٌ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَات وَمَا فِي الأَرْضِ وَكَفَى بِاللّهِ وَكِيلاً

"Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan atas nama Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya al-Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang Dia sampaikan kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh dari-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasul-Nya, dan janganlah kamu mengatakan, '(Tuhan itu) tiga', berhentilah (dari ucapan itu). (Itu) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa, Mahasuci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. Cukuplah Allah menjadi Pemelihara." (An-Nisa`: 171).

Ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa, Allah Ta’ala melarang Ahli Kitab bersikap ghuluw (berlebihan) di dalam agama, iaitu melampaui batas dan kadar yang disyariatkan sampai batas yang tidak disyariatkan. Seperti perkataan orang-orang Nasrani dengan ghuluw mereka terhadap Nabi Isa (a.s), yang kemudian mengangkat beliau dari kedudukan kenabian dan kerasulan kepada kedudukan ketuhanan yang sama sekali tidak layak bagi selain Allah. Maka sebagaimana hal lalai dan tidak teliti dalam beragama adalah dilarang, begitu pula berlebihan (ghuluw) juga dilarang.
Allah berfirman, "... dan janganlah kamu mengatakan atas nama Allah kecuali yang benar",

Ayat ini mengandungi tiga hal; dua di antaranya adalah larangan, yaitu:

Pertama, berkata dusta atas nama Allah, Kedua, berkata tanpa ilmu dalam masalah nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan, syariat, dan Rasul-rasul Allah. Ketiga, perintah untuk mengatakan yang benar dalam masalah-masalah ini." (lihat Tafsir Taisir Al-Karim Al-Rahman:179).

Di samping itu Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam juga memperingatkan bahaya sikap berlebihan (ghuluw) dengan sabda Baginda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّيْنِ فَإِنَّهُ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ الْغُلُوُّ فِي الدِّيْنِ.

"Wahai manusia, kamu jauhilah sikap berlebih-lebihan di dalam Agama, karena sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu adalah sikap berlebih-lebihan di dalam agama." (H.R. Ahmad 1854; Al-Nasai, 3059, dan Ibnu Majah 3029)

Salah satu sikap berlebihan (ghuluw) yang berlaku pada sebahagian masyarakat adalah bacaan shalawat Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Memanglah, Allah telah memerintahkan kita bershalawat atas Nabi kita, Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Sebagaimana firman-Nya:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيماً

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." (Q.S.Al-Ahzab:56).

Dan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ وَاحِدَةً صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ عَشْرًا.

"Barangsiapa yang bershalawat atasku satu kali, maka Allah akan bershalawat atasnya sepuluh (kali lipat)." (H.R.Muslim 408).

Dalam hadits lain Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيْئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ.

"Barangsiapa yang bershalawat atasku satu kali, maka Allah akan bershalawat atasnya sepuluh kali, sepuluh dosa digugurkan dari dirinya, dan sepuluh derajat diangkat untuknya." (H.R.Ahmad 11587; dan Al--Nasai 1297)

Dalil-dalil ini, dan masih banyak dalil-dalil yang lain, sangat jelas menunjukkan bahawa bershalawat atas Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah suatu yang utama dan amal yang mendatangkan pahala dan kebaikan. Akan tetapi, sikap berlebihan (ghuluw) sebagian kaum Muslimin telah menodai ibadah yang agung ini. Mereka ghuluw terhadap Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, memuji Baginda secara berlebihan, mentaqdis (suci) kan Baginda, dan bershalawat dengan shalawat-shalawat yang berlebihan, bahkan ada di antara kaum Muslimin yang yakin secara berlebihan terhadap diri Rasulullah, seakan-akan Baginda sudah mencapai tingkat ketuhanan; yang dapat menjawab doa, yang memberikan pertolongan dan keselamatan. Mereka lupa bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah memperingatkan umatnya, dengan bersabda:

لَا تُطْرُوْنِيْ كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُوْلُوْا: عَبْدُ اللّهِ وَرَسُوْلُهُ.

"Jangan kamu memujiku berlebihan sebagaimana orang-orang Nasrani memuji Isa, anak Maryam berlebihan; karena sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba-Nya, maka katakan (bahwa aku ini adalah) hamba Allah dan Rasul-Nya." (H.R.Al-Bukhari:3445 dan Muslim:1691).

Di antara shalawat yang berlebihan yang selalu dikumandangkan sebahagian orang, dengan harapan semoga hal ini mengingatkan kita agar selalu berhati-hati dalam beragama.

Pertama: Shalawat yang berbunyi,

اَللَّهُمَّ صَلِّ صَلَاةً كَامِلَةً وَسَلِّمْ سَلَامًا تَامًّا عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الَّذِيْ تَنْحَلُّ بِهِ الْعُقَدُ، وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ، وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ، وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ....

"Ya Allah, bershalawatlah dengan shalawat yang sempurna dan salamlah dengan salam yang sempurna atas penghulu kami Muhammad, yang dengannya ikatan-ikatan (permasalahan) terlepas, segala kesusahan mendapat jalan keluar, semua hajat terpenuhi, semua keinginan dapat diraih, …"

Mari perhatikan dengan baik kata-kata dalam kalimat shalawat ini. Pertama, shalawat ini tidak pernah diajarkan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Kedua, kalau ini dianggap sebagai tawassul, maka ini adalah tawassul yang tidak ada dasarnya di dalam sunnah Nabi Sallallallahu ‘alaihi wa sallam.Ketiga, kalau permohonan-permohonan dalam kalimat ini diungkapkan dan diiringi dengan keyakinan bahawa Nabi Sallallallahu ‘alaihi wa sallam mengabulkan atau memenuhi hajat orang yang mengucapkannya, maka dia adalah shalawat yang sangat berbahaya yang boleh membawa kepada syirik.

Maka sebagai seorang Muslim yang cintakan sunnah mestilah meninggalkan bacaan-bacaan seperti ini, agar terhindar dari hal-hal yang tidak perlu terjadi bagi orang yang ingin selamat di dunia dan akhirat.

Kedua: Dalam Al-Burdah yang ditulis oleh Al-Bushiri, yang kemudian dikenal dengan Burdah Al-Bushiri, yang biasa kita dengar :

يَا رَبِّ، بِالْمُصْطَفَى، بَلِّغْ مَقَاصِدَنَا، وَاغْفِرْ لَنَا مَا مَضَى، يَا وَاسِعَ الْكَرَمِ.

"Ya Rabbi, dengan orang pilihan (al-Mushthafa) sampaikanlah mak-sud-maksud kami, dan ampunilah untuk kami apa-apa yang telah lalu, wahai Dzat yang luas kebaikan(Nya) …"
Ini juga tawassul yang sama dengan sebelumnya.

Dan perhatikan perkataan Al-Bushiri yang lain mengatakan (sebagaimana yang dinukil oleh Al-Syaikh Muhammad bin Jamil Zainu di dalam Al-Shufiyah Fi Mizan Al-Kitab wa Al-Sunnah m/s 40).

يَا أَكْرَمَ الْخَلْقِ مَا لِيْ مَنْ أَلُوْذُ بِهِ سِوَاكَ عِنْدَ حُلُوْلِ الْحَادِثِ الْعَمَمِ

Wahai manusia yang paling mulia, aku tidak memiliki tempat berlindung selainmu di saat terjadi petaka yang banyak.

Al-Syaikh Muhammad bin Jamil Zainu memberi ulasan baris sya'ir ini, "Penyair ini beristighatsah (minta tolong) kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, di mana dia mengatakan, 'Aku tidak mendapatkan kepada siapa aku kembali (berlindung) ketika turunnya malapetaka kecuali engkau. Ini adalah di antara syirik akbar yang dapat menyebabkan pemiliknya (orang yang mengatakannya) kekal di dalam neraka bila dia tidak bertaubat, berdasarkan Firman Allah Ta’ala,

وَلاَ تَدْعُ مِن دُونِ اللّهِ مَا لاَ يَنفَعُكَ وَلاَ يَضُرُّكَ فَإِن فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذاً مِّنَ الظَّالِمِينَ

"Dan janganlah kamu berdoa kepada selain Allah yang tidak dapat memberi manfaat dan tidak (pula) dapat mendatangkan mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zhalim." (Q.S.Yunus: 106).

Dan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda,

مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَدْعُوْ مِنْ دُوْنِ اللّهِ نِدًّا دَخَلَ النَّارَ.

"Barangsiapa yang mati sedangkan dia berdoa kepada selain Allah yang menjadi sekutu (bagiNya), maka dia masuk neraka." (H.R.Al-Bukhari 4497; dan Muslim 92)." Demikian penjelasan Syaikh Muhammad Jamil Zainu .

Dan masih banyak lagi pujian-pujian yang diperuntukkan kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, yang kadang-kadang sangat berlebihan (ghuluw).
Karena itu mari kita bershalawat sesuai dengan bimbingan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, dan dengan lafazh-lafazh shalawat yang Baginda ajarkan. Kita mesti senantiasa ingat bahawa syarat amal diterima oleh Allah, bukan sahaja ikhlas karena Allah semata, tetapi tata cara dan sifat dari ibadah tersebut mestilah sesuai dengan tuntunan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Apabila salah satu di antara dua syarat ini tidak ada, maka amal yang kita kerjakan adalah sia-sia belaka. Seperti seorang yang ikhlas melaksanakan solat Subuh, tetapi sengaja melakukannya tiga raka'at, maka keikhlasan itu tidak mempunyai makna. Seseorang ikhlas mengorbankan hartanya untuk melaksanakan haji tetapi dia tidak melakukannya sebagaimana ketentuan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam, maka hajinya adalah kabur bukan mabrur. Dan begitu pula, apabila kita bershalawat kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, tidak cukup hanya karena Allah, tetapi juga mestilah shalawat yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallallahu ‘alaihi wa sallam.

Di antara shalawat Nabi yang disyari'atkan adalah:

1. Shalawat Nabi yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim,

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ. اَللَّهُمَّ َبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
2. Shalawat Nabi yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Nasai,

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
3. Shalawat Nabi yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Dawud, Al-Nasai,

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ فِي الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.

Baca Sepenuhnya/Read Full Post...

MARHABAN YA MUTHAHHIR

Allah swt. telah mewajibkan puasa kepada manusia sejak dahulu lagi sampailah kepada ummat ini, menurut sebahagian ahli tafsir mengatakan sejak dari Nabi Adam as. lagi puasa memang telah difardhukan (lihat Tafsir Al-Baidhawi dan Al-Zamakhsyari ketika mentafsirkan "sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu").

Allah swt. tidak mewajibkan suatu perkara ke atas manusia kecuali kerana ada hikmahnya yang agung dan rahsianya yang tinggi untuk manusia itu sendiri, samada mereka mengetahui atau tidak.

Oleh sebab itu sangat wajar bagi kita untuk mengetahui hikmah-hikmah dan rahsia-rahsia tersebut, supaya kita dapat melaksanakan puasa ini dengan penuh keyakinan diri, di samping dapat melaksanakannya sebagaimana yang dikehendaki Allah, bukan sebagaimana yang dikehendaki oleh selera manusia.


Di antara hikmah puasa adalah sebagai berikut:

1- Memperkuat ruh.

Kita sedia maklum, bahawa manusia bukanlah sekedar makhluq yang hanya terdiri dari batang tubuh sahaja, yang terhimpun dari daging, darah, tulang, urat-urat dan sebagainya. Kalau hanya itulah manusia ini, alangkah hinanya dia… alangkah kecilnya dia, sebab gajah jauh lebih kuat dan lebih besar daripadanya. (Rujuk Al-Ibadah Fi Al-Islam Al-Qaradawi:273)

Bahkan Iblis tidak mahu sujud sebagaimana diperintah oleh Allah swt. kerana Iblis melihat dari sudut jasad manusia tadi.

Sebenarnya manusia lebih dari itu, manusia adalah gabungan daripada ruh yang bersifat samawi (langit) dan jasad yang bersifat ardhi (bumi). Jadi hakikat kehebatan manusia itu terletak pada ruh sebagai tuan, yang mendiami jasad sebagai rumah, ruh sebagai penunggang dan jasad sebagai kenderaan. (Al-Qaradawi)

Nah… di sinilah rahsia mengapa malaikat sujud kepada Adam, mereka melihat dari sudut yang Iblis terlepas pandang, iaitu ruh yang ditiupkan kepadanya, sebagaimana firman Allah swt. :

"(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah". Maka apabila Telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; Maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya". (Q.S.Sad:71-72)

Jadi, alangkah malangnya manusia ini, jika dia mengabaikan ruhnya kerana sangat mengambil berat terhadap jasadnya, membiarkan jiwa sebagai penunggang diperhamba oleh jasad sebagai kenderaan, mengabaikan ruh tapi menyembah jasad, bertungkus lumus bekerja hanya untuk memenuhi keperluan jasad semata, sangat rajin melayan keinginan dunia, hidup di sekitar perut dan kemaluan sahaja. Mereka inilah yang disifatkan Allah swt. di dalam firman-Nya:

“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)” (Q.S.Al-Furqan:43-44)

Dengan puasa Allah swt. melatih manusia agar dapat membersih dan membebaskan ruhnya daripada penguasaan dan cengkaman hawa nafsu, keluar daripada penjara jasadnya, melawan keinginan yang paling kuat yang ada di dalamnya, iaitu kehendak perut untuk makan dan minum, serta keinginan sex untuk melakukan hubungan intim dengan lawan jenisnya, semua itu dilakukan kerana menjunjung perintah Allah swt. Sehingga pada akhirnya manusia boleh menjadi seperti malaikat dari segi tabiat, pemikiran yang penuh dengan cahaya Ilahi dan akhlaq yang bersifat rabbani.

Dengan puasa manusia dapat merasakan kemanisan ibadah, keseronokan wara’, dan dapat merasakan bahawa dia dekat kepada Rab Yang Maha Suci.

Jika kita telusuri Al-Quran, setelah mewajibkan puasa pada Surah Al-Baqarah ayat 183 serta hukum hakam puasa pada ayat 184 – 185, maka pada ayat 186 Allah berfirman :

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”.

Seolah-olah susunan ayat-ayat tersebut memberi isyarat bahawa jika manusia telah berpuasa dengan baik, maka dia sudah layak dan bersedia untuk bermunajat dan meminta kepada Rabnya.

Sama halnya sebagaimana Al-Quran menyebut, ketika Allah hendak berkata-kata kepada Nabi Musa, terlebih dahulu dipersiapkan untuk maqam yang sangat tinggi ini dengan memerintahkan Nabi Musa berpuasa selama 30 hari dan ditambah dengan 10 hari lagi,
agar Musa dapat bertahan dan kuat untuk menerima Nur Rabbani. Allah berfirman :

“Dan Telah kami janjikan kepada Musa (memberikan Taurat) sesudah berlalu waktu tiga puluh malam, dan kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi), Maka sempurnalah waktu yang Telah ditentukan Tuhannya empat puluh malam” (Q.S.Al-A’raf:142)

Setelah itu Allah mencurahkan Cahaya Ilahiyah kepada Nabi Musa dan Allah berkata-kata kepadanya tanpa perantara, sebagaimana firman Allah:

“Allah berfirman: "Hai Musa, Sesungguhnya Aku memilih (melebihkan) kamu dan manusia yang lain (di masamu) untuk membawa risalah-Ku dan untuk berbicara langsung dengan-Ku, sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur." (Q.S.Al-A’raf:144)

Nah, daripada penjelasan tersebut kita dapat merasakan bahawa di sana ada hubung kait puasa Ramadan dengan penurunan Wahyu Ilahi kepada Nabi Muhammad saw. Allah berfirman:

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)” (Q.S.Al-Baqarah:185)

Jadi bukanlah suatu yang ajaib, jika ruh orang yang berpuasa dapat naik dan mendekat kepada alam yang paling tinggi, dapat mengetuk pintu langit dengan doanya lalu dibukakan, meminta kepada Tuhannya lalu diperkenankan dan diseru “Ya, Aku perkenankan wahai hamba-Ku”. Rasul saw. mengatakan “Ada tiga orang tidak akan ditolak doanya; doa orang yang puasa sehingga dia berbuka, doa Imam (pemimpin) yang adil, doa orang yang dizalimi” (H.R.Al-Tirmizi).

Semua itu tidak lain dan tidak bukan kecuali kerana ruh orang yang berpuasa sudah menduduki tempat yang khusus dan istimewa di sisi Allah swt. Itulah yang disebut sebagai “taqwa” dalam Surah Al-Baqarah:183 yang merupakan matlamat daripada pengwajipan berpuasa.

Mari kita bertanya sejenak, di manakah kedudukan puasa kita selama ini? Kita berpuasa tetapi kita masih mengabaikan hal-hal yang bersifat penyucian rohani untuk meninggi dan menguatkan ruh, puasa kita seolah-olah masih membuat kita tetap terpacak di bumi ini, masih berselera tinggi bila mengunjungi bazar Ramadan, yang kekadang bajet bulan Ramadan lebih besar dibandingkan dengan bajet bulan-bulan biasa… Itu berpuas bukan berpuasa namanya….

Lidah kita tetap kering dari mengingat Allah dengan berzikir atau membaca Al-Quran, malah lebih daripada itu, kita masih sahaja seronok menyebut-nyebut keburukan orang lain, mengumpat, memfitnah dan yang serupa itu.

Berpuasa dengan melengah-lengahkannya dengan menonton filem-filem yang dihidangkan di kaca tv yang tidak berfaedah untuk dunia ataupun akhirat kita .

Pada hal Rasul Sallallah 'alaihi wa sallam ada mengatakan :

"من لم يدع قول الزور والعمل به والجهل فليس لله حاجة أن يدع طعامه وشرابه"

"Sesiapa yang tidak meninggalkan bohong dan bekerja dengan bohong dan kerja jahil, maka Allah tidak memerlukan dia meninggalkan makan dan minumnya itu" (H.R.Al-Bukhari)

Maksud arahan Nabi Sallallah 'alaihi wa sallam ini ialah bahawa matlamat puasa itu bukan sekedar tidak makan dan tidak minum sahaja, tapi lebih daripada itu, mestilah diiringi dengan melawan dan menghalang syahwat daripada menguasai ruh, meredam potensi emosi dan mengarahkan nafsu Al-Ammarah Bi Al-Suk untuk taat kepada Allah, jadi jika hal tidak dicapai oleh orang yang berpuasa, maka Allah swt tidak mempedulikan puasanya dan tidak menerimanya sama sekali.

Kerja-kerja jahil itu ialah membuat suatu tindakan yang tidak membawa manfaat dunia dan akhirat, seperti duduk sepanjang masa di depan tv menonton cerita-cerita karut, khurafat,kartun, lucah dan yang sewaktu dengannya.

Untuk itu mari kita berazam dan memohon kepada Allah, agar tahun ini kita dapat menjalankan ibadah puasa sesuai dengan kehendak-Nya bukan dengan kehendak kita.

Bersambung……

2- Memperkuat tubuh

Puasa, sebagaimana ia merupakan peluang bagi kita mempekuat ruh, ia juga memberi kita peluang untuk memperkuat badan. Kerana kebanyakan penyakit yang menimpa manusia adalah berpunca daripada perut yang sentiasa diasak dengan berbagai makanan yang menyelerakan tanpa memikirkan batas-batas yang sepatutnya.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam bahawa “Tiada bekas yang paling berbahaya untuk dipenuhi selain perut” (Maksud Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Jadi jika perut adalah sumber penyakit, maka berpantang – dengan cara tidak makan atau diet – adalah cara yang sangat sesuai untuk pengubatan, selaras dengan sabda Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam ” Berpuasalah, kamu akan sihat” (H.R. Al-Thabrani)

Secara dasarnya puasa adalah salah satu proses detoksifikasi (detoxification process) yang baik, iaitu mencuci dan membersihkan badan daripada racun ataupun toksin. DR. Lonny J.Brown (Ph.D) dalam Adventures In Therapeutic Fasting mengatakan “Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini adalah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat bagi meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya bagi kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa semasa sakit” (lihat Quran Saintifik oleh Dr.Danial Zainal Abidin:292)

Lebih lanjut DR.Danial Zainal Abidin mengatakan “Semasa berpuasa organ-organ dapat berehat, dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan bagi pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mhatma Gandhi sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelabagai penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit”

Di dalam kitab Mausu’ah Al-‘Ijaz Al-‘Ilmi oleh Yusuf Al-Haj Ahmad lebih terperinci dikatakan bahawa :

“Kajian membuktikan bahawa puasa memiliki sejumlah manfaat pencegah terhadap berbagai penyakit fizikal dan mental, antara lain sebagai berikut:

1- Memperkuat sistem imuniti (kekebalan tubuh) sehingga tubuh selalu menyaring berbagai penyakit. Indikator fungsional sel-sel limpa pun semakin membaik sepuluh kali ganda. Peratusan sel yang bertanggungjawab atas kekebalan kualitatif juga semakin bertambah. Beberapa jenis zat antibodi dalam tubuh juga meningkat. Respon kekebalan sebagai tindakbalas peningkatan (LDL) pun bertambah.

2- Melindungi tubuh dari obesiti dengan segala risiko dan bahayanya. Sudah menjadi kayakinan awam bahawa disamping sebagai akibat gangguan pada sistem asimilasi makanan, obesiti juga kadang-kadang disebabkan oleh tekanan persekitaran, psikologis, mahupun sosial. Bahkan keseluruhan faktor-faktor ini kadang-kadang bersatu dalam menyebabkan obesiti. Kecelaruan fikiran dan psikologi menyebabkan ketidakteraturan asimilasi makanan, sehingga kemudian terjadi obesiti yang boleh dicegah dengan terapi puasa. Melalui stabiliti jiwa dan fikiran yang diperoleh dengan puasa sebagai tindakbalas logik dari menebalnya atmosfera keimanan yang menyelubungi orang yang berpuasa juga meningkatnya intensif peribadatan selama puasa: zikir, tadarus al-Quran, infaq di jalan Allah, menghindari perkelahian, mengawal nafsu serta keinginan positif dan yang berguna. Ditambah lagi dengan kesan puasa yang ideal dalam mengikis lemak-lemak yang tersimpan dan melindungi tubuh dari risiko penyakit-penyakit obesiti, seperti penyakit-penyakit yang menyerang jantung, arteri seperti gangguan jantung, serangan jantung dan penyumabatan pembuluh darah di sekitar jantung (thrombosis), juga penyakit penebalan pembuluh nadi.

3- Melindungi tubuh dari terbentuknya batu-bantu ginjal. Sebab puasa menaikkan kadar sodium di dalam darah, sehingga iapun boleh mencegah pengkristalan garam kalsium. Bertambahnya zat urea dalam urin selama puasa juga membantu menghalangi sedimentasi garam-garam urin yang membentuk batu-batu karang di pundi air kencing.

4- Membersih tubuh dari bahaya racun yang menggumpal di dalam sel-sel atau jaringannya akibat pemakanan makanan yang diawetkan atau yang dikilangkan, juga pengambilan ubat-ubatan.

5- Mengurangkan gairah seksual, terutama di kalangan pemuda. Dengan demikian, tubuhpun bebas dari berbagai gangguan mental ataupun fizikal, dan penyimpangan-penyimpangan perilaku, sebagaimana yang dikatakan oleh Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam: “Wahai sekalian pemuda, siapa yang mampu di antara kamu menanggung biaya nikah, maka segeralah nikah. Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, sebab puasa adalah ubat penawar nafsu baginya.” Hal ini disebabkan buah pelir (testis) merupakan tempat produksi faktor-faktor perangsang seksual, sabab di dalamnya terkandung sel-sel tertentu yang membentuk hormon testosterone, iaitu hormon yang menggerakkan dan membangkitkan gairah seksual. Jadi dengan puasa boleh menekan dan mengurangkan dorongan seksual.


Baca Sepenuhnya/Read Full Post...

APA KATA AL-QARADAWI TENTANG SYED QUTUB?

Tulisan-tulisan pada saat akhir kehidupan Syed Qutub jelas menunjukkan bahawa beliau terkeluar dari Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jamaah dari aspek manapun khasnya dari aspek “takfir” atau mengkafirkan, dan seandainya beliau masih hidup nescaya beliau akan rujuk kembali dari masalah ini, walaupun beliau pada masa yang sama adalah dianggap sebagai seorang alim yang agung yang sanggup menggadaikan batang lehernya sebagai bayaran bagi dakwahnya di jalan Allah. Demikian pandangan Al-‘Allamah DR.Yusuf Al-Qaradawi di websitenya yang bertarikh 08/09/2009.

Al-Qaradawi mengatakan bahawa Ahlu Al-Sunnah Wa Al-Jamaah sentiasa berhati-hati dalam masalah mentakfir ini, walaupun terhadap kaum Al-Khawarij sekalipun, Ahlu Al-Sunnah Wa Al-Jamaah tidak mengkafirkan kecuali dengan dalil-dalil yang pasti yang menunjukkan seseorang itu benar-benar telah terkeluar dari agama Islam.

Beliau juga yakin bahawa Al-Utaz Syed Qutub dalam hal ini telah tersasar dari jalan Ahlu Al-Sunnah Wa Al-Jamaah yang sebenar. Hal itu, menurut beliau, berpunca dari beberapa sebab, di antaranya yang sangat jelas ialah disebabkan karya-karyanya ditulis semasa berada dalam penjara, yang mana dia berpendapat bahawa kerajaan yang telah bekerja sama dengan Komunis pada masa itu telah jauh daripada Islam.

Walaupun demikian, Al-Qaradawi beranggapan seandainya Syed Qutub ditakdirkan masih hidup dan membincangkan idea-idea pentakfiran ini dengan orang ramai nescaya dia akan rujuk kembali daripada pendangan-pandangan tersebut.

Hubungan Syed Qutub dengan Al-Ikhwan Al-Muslimin.


Al-Qaradawi juga menyatakan bahawa Syed Qutub adalah sebahagian dari kalangan orang yang mengkagumi Al-Imam Hasan Al-Banna pengasas Gerakan Al-Ikhwan Al-Muslimin, dan dia pernah menulis dalam makalahnya “Hasan Al-Banna Wa “abqariyyatuh” (Hasan Al-Banna Dan Kecerdasannya) yang mana di dalamnya beliau menerangkan kehebatan Al-Banna dari sudut pentadbiran untuk mendirikan Gerakan Al-Ikhwan Al-Muslimin.

Namun demikian Syed Qutub tidak pernah menukil pemikiran Al-Banna dibandingkan dengan nukilannya dari Al-Syeikh Abu Al-‘Ala Al-Maududi, sebab Syed Qutub sangat terpengaruh dengan Al-Maududi dan beliau mengambil fikrahnya dari hal “Al-Hakimiyyah dan Al-Jahiliyyah”, cuma saja Syed Qutub pada akhirnya mengemukakan pandangannya sendiri mengenai idea mentakfir dan menjahiliyahkan masyarakat yang sangat bertolak belakang dengan pandangan Al-Maududi.

Al-Qaradawi lebih lanjut menjelaskan bahawa idea Hakimiyah adalah jelas dan terang dan ia merupakan idea Islam yang tulen, dengan syarat rujukannya mestilah Syariat Islamiyah, bahkan Al-Imam Al-Gahzali dan ulama-ulama Islam yang lain juga ada membincangkannya.

Adapun masalah “Jahiliyah”, Syed Qutub berhujjah dengan dalil yang bercanggah secara keseluruhan ataupun secara rincinya dengan Al-Quran Al-Karim, sebagaimana yang dapat dilihat dari karya Syed Qutub dalam kitabnya “Ma’alim Fi Al-Tariq” yang menganggap bahawa masyarakat pada asasnya tidak muslim, dan tugas para muslih ialah mengembalikan manusia ini kepada aqidah Islam yang sahih dan bersyahadah bahawa “La Ilaha Illa Allah dan Muhammad Adalah Rasul Allah” terlebih dahulu.

Al-Qaradawi lebih lanjut menekankan bahawa Syed Qutub telah tersilap dalam hal mentakfir keseluruhan orang Islam, bukan sekedar mengenai hakim-hakim dan undang-undang. Sehubungan dengan itu Syed Qutub mesti bertanggung jawab atas inpak takfir ini. Beliau telah mengambil idea-idea Al-Maududi dan menambah kesimpulan-kesimpulan yang tidak pernah terlintas dalam pemikiran Al-Maududi sendiri, sama halnya dengan yang berlaku pada Syukri Mustafa dan lain-lain, yang mana Syukri memetik pemikiran Syed Qutub dan membuat kesimpulan-kesimpulan yang tak terlintas dalam pemikiran Syed Qutub sendiri, seperti menganggap bahawa hanya Jamaah Al-Muslimin sahaja yang muslim, adapun yang lain daripada kelompok mereka adalah kafir belaka.

Apa Yang Menjadi Problem?

Pada masa yang sama Al-Qaradawi menafikan bahawa penyaksiannya terhadap Syed Qutub adalah sebagai memfitnahnya, sambil menegaskan bahawa ia adalah penghukuman ke atas sesorang berdasarkan percakapan dan teks-teks yang ada dalam tulisannya, hal ini untuk menolak apa yang dikatakan oleh Doktor Mahmood Ezat Setia Usaha Agung Jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimin bahawa kesalahan berpunca dari orang yang membaca pemikiran Syed Qutub, bukan tulisannya.

Al-Qaradawi mengaskan lagi bahawa ungkapan yang dikutipnya dari Syed Qutub mengenai masalah “takfir” adalah jelas dan tidak perlu kepada penafsiran berdasarkan apa yang diriwayatkannya dari Doktor Muhammad Abdullah Al-Mahdi yang dipenjarakan pada tahun 1965, beliau telah menegaskan bahawa Syed Qutub telah mengakui mengenai karya-karya yang ditulisnya pada fasa pertama kehidupannya, seperti “Al-‘Adalah al-Ijtima’iyah Fi Al-Islam” dan “Al-Salam Al-‘Alami Al-Islami” serta “Masyahid Al-Qiyamah Fi Al-Quran” semuanya tidak menggambarkan pemikiran dan mazhabnya yang baru, tetapi pemikiran yang dianutnya ialah semua yang ditulisnya dalam karya-karyanya yang akhir semasa dalam penjara, sepeti “Ma’alim Fi Al-Tariq” dan “Fi Al-Zilal” cetakan kedua serta “Haza Al-Din” dan “Al-Islam Wa Musykilat Al-Hadharah”

Pada perbincangan yang diadakan dalam penjara itu, Syed Qutub mengakui bahawa beliau mempunyai dua mazhab (aliran pemikiran); baru dan lama, tepat macam Al-Imam Al-Syafie, cuma saja Al-Syafie berubah dalam furu’(cabang), adapun dia mengubahnya dalam hal usul (pokok) iaitu usul aqidah. Nah, di sinilah problemnya, kata Al-Qaradawi.

Sesiapa yang memperhatikan karya-karya Syed Qutub, akan mengetahui secara pasti bahawa beliau telah melampau dalam masalah takfir, sambung Al-Qaradawi lagi, sambil menegaskan bahawa manhaj Syed Qutub bukan manhaj Al-Ikhwan Al-Muslimin yang telah ditetapkan oleh Al-Imam Al-Banna sebagai asasnya dalam “Al-Usul Al-‘Isyrin” (20 Asas) dan Syed Qutub tidak pernah hidup dan dididik di atas tikar Jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimin, walaupun pernah berada dalam barisan jamaah yang sedikit sebelum dia masuk penjara, dan di dalam penjara itulah muncul perubahan-perubahan dan pengaruh-pengaruh yang besar.

Al-Qaradawi mengatakan lagi bahawa yang mustahak bukan menetapkan samada Syed Qutub adalah dari kelompok Al-Ikhwan Al-Muslimin atau dari kelompok lain, tapi yang penting ialah pemikirannya, dan kita menghukum pemikiran, dan yang bertanggung jawab terhadap pemikiran itu adalah orang yang empunya pemikiran, bukan Al-Ikhwan, dan saya berpendapat bahawa pandangan-pandangan tersebut tidak sesuai dengan pandangan Al-Ikhwan Al-Muslimin, sebab pandangan Al-Ikhwan tidak ada takfir.

Akhirnya Al-Qaradawi menjelaskan bahawa penyaksian dan percanggahannya dengan Syed Qutub dalam masalah takfir ini tidak menghalangnya untuk mengatakan bahawa Syed Qutub adalah seorang sastrawan agung jika diukur dari sudut ketajamnnnya memberi komen sastra, dan sebagai pendakwah yang ulung, serta sebagai seorang alim dan pemikir yang hebat, di samping itu beliau juga adalah seorang muslim yang memanfaatkan kehebatnnya itu, tidak terbatas pada pemikiran sahaja, tetapi juga pengorbanan dirinya sehingga sanggup menjual batang lehernya sebagai bayaran bagi dakwah fi sabilillahnya.

Demikian pandangan Al-Qaradawi, namun begitu, untuk pedoman kepada kita sebagai generasi masa kini dan generasi penerus, ambillah hikmah itu dari manapun datangnya, ambil yang baik dan buang yang keruh, sebab selama bernama manusia, maka kita tidak terlepas daripada salah dan silap, pendapat setiap manusia boleh diambil dan boleh juga ditolak, kecuali Rasul sallallah 'alaihi wa sallam.
Fikir-fikirlah sendiri....


Baca Sepenuhnya/Read Full Post...

SUATU PENGKHIANATAN

Al-Syeikh DR.WAHBAH AL-ZUHAILY


Soalan:
Apa hukum mengambil hasil karya orang lain dengan cara memindah tulisannya kerana hendak menulis tesis / makalah tanpa menunjukkan bahawa itu adalah nukilan dari tempat asalnya? Dan adakah ini dianggap sebagai mencuri, pada hal kita bertanggung jawab untuk menyebarluaskan ilmu dan tidak boleh menyembunyikannya.


Jawapan:
Menurut hukum Adat dan Syara’ bahawa dibolehkan iqtibas (mengutip) bahan kajian atau maqalah orang lain dengan syarat:
1- Menunjukkan di hamisy atau foot- note tuan punya tulisan tersebut.
2- Yang dinukil itu mestilah kadar tertentu yang logik, seperti beberapa baris atau satu atau dua muka surat.

Jika yang diambil lebih daipada kadar yang logik, atau tidak menunjukkan tempat rujukan asal, maka itu adalah suatu bentuk pengkhianatan dan pencurian yang sama dengan mencuri harta, sekalipun tiada hukum had (potong tangan) disebabkan syarat penjagaan yang tidak sempurna.

Namun jika sekedar iqtibas (mengutip) idea dan mengatakan bahawa itu adalah buah fikirannya, atau dengan huraian yang tidak sama dengan yang asal, maka itu adalah dibolehkan.

diterjemah dari website
http://www.zuhayli.net/fatawa.htm

Baca Sepenuhnya/Read Full Post...

NISFU SYA'BAN


Soalan:
Apa hukum doa Nisfu Sya’ban? Adakah dalil mengenai malam nisfu Sya’ban daripada hadis-hadis yang sahih, begitu juga doa malam akhir Sya’ban?

Jawapan :
الحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه، ومن اتبعه إلى يوم الدين، وبعد
Malam nisfu Sya’ban, tidak ada satu hadispun yang sampai kepada darjat sahih mengenainya. Ada beberapa hadis yang dianggap oleh sebahagian ulama sebagai hadis hasan, sebahagian yang lain pula menolaknya dan mengatakan bahawa tidak ada satu hadis yang sahih mengenai nisfu Sya’ban,

dan jika kita katakan hadis itu hasan, maka semua yang datang (dalam hadis itu) hanya menerangkan bahawa Baginda berdoa pada malam tersebut dan meminta ampun (istighfar) kepada Allah ‘Azza Wa Jalla. Adapun bentuk doa tertentu tidak ada. Doa yang dibaca oleh sebahagian orang di sebahagian negara dan dicetak kemudian diedarkan adalah merupakan doa yang tiada asalnya dan salah serta tidak sejalan dengan nas-nas dan logik.

Kita dapati di dalam doa tersebut “ Ya Allah, seandainya Engkau telah tuliskan (tentukan) aku di sisi Engkau di Ummi Al-Kitab sebagai orang yang celaka atau orang dihalang atau orang yang ditolak atau orang yang diputuskan rezkinya, maka hapuskanlah dengan Kurnia-Mu kecelakaanku, halanganku, penolakanku dan putusnya rezkiku, dan tetapkan daku di sisi Engkau di Ummi Al-Kitab sebagai orang yang senang, diberi rezeki dan orang yang diberi taufiq untuk kebaikan keseluruhannya, kerana Engkau telah berkata dan sungguh perkataan Engkau adalah Haq, di dalam Kitab Engkau yang diturunkan dan melalui lisan Nabi Engkau yang diutus bahawa “ Allah menghapus apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ada Ummu Al-Kitab”

Nah, dalam ungkapan ini kita dapati percanggahan yang jelas, iaitu pada awalnya dia mengatakan “Jika Engkau tetapkan aku sebagai celaka atau terhalang (daripada rezeki) di sisi Engkau dalam ummu Al-Kitab…. Maka hapuskan ini dan tetapkan aku di sisi Engkau dalam ummu Al-Kitab sebagai orang yang bahagia lagi diberi rezeki bagi kebaikan-kebaikan kerana Engkau telah berkata dan sungguh perkataan Engkau adalah Haq, di dalam Kitab Engkau yang diturunkan dan melalui lisan Nabi Engkau yang diutus bahawa “Allah menghapus apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ada Ummu Al-Kitab”

Maka maksud ayat tersebut bahawa ummu Al-Kitab tidak ada penghapusan dan penetapan, jadi bagaimana dia memohon untuk dihapuskan dan ditetapkan dalam ummu Al-Kitab.

Kemudian ungkapan ini bercanggah dengan adab berdoa, kerana Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam bersabda “Jika kamu meminta kepada Allah maka mintalah dengan kepastian”. Oleh sebab itu jangan kamu berkata : “Ya Tuhanku ampunilah aku jika Engkah mau, atau sayangilah daku jika Engkau mau, atau berilah daku rezeki jika Engkau mau, kerana sesungguhnya tiada siapa yang memaksa Allah, tetapi sepatutnya dia mengatakan : “Ampunilah daku, sayangilah daku, dengan kepastian dan keyakinan, kerana demikianlah yang dituntut daripada sesiapa yang berdoa kepada Tuhannya ‘Azza Wa Jalla.

Adapun mengaitkan doa dengan “masyiah atau syarat” sebagaimana yang disebutkan tadi, maka ia bukan cara dan adab berdoa dan bukan cara seorang yang faqir yang rendah terhadap Tuhannya, tetapi ia adalah suatu cara yang lebih menyerupai gaya bahasa yang lemah (tidak fasih) yang tidak sesuai dalam pada kedudukan seperti ini dari seorang hamba Allah yang mukmin.
Hal ini menunjukkan bahawa doa-doa yang dicipta oleh manusia selalu kurang dalam mencapai makna sebenar, bahkan kadang-kadang terlari, salah dan bercanggah. Jadi sebenarnya tiadalah yang lebih baik dari doa-doa yang datang dari Rasulullah sallallah ‘alaihi wa sallam sendiri, kerana akan mendapat dua pahala, iatu pahala ittiba’ (mengikut Rasul sallallah ‘alaihi wa sallam) dan pahala zikir.

Kita sepatutnya sentiasa menghafaz dan berdoa denagn doa-doa Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam ini.

Adapun malam nisfu Sya’ban, kebanyakan perkara-perkara yang diamalkan padanya adalah tidak warid (datang dari Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam) dan tiada yang sahih, bahkan tiada langsung dari sunnah sedikitpun.
Saya teringat semasa saya masih kecil berada bersama orang ramai, kami sembahayang dua rakaat dengat niat panjang umur, dan dua rakaat lagi dengan niat menjadi kaya, kemudian membaca surah Yasin kemudian sembahayang dua rakaat dan yang lain-lain lagi.

Semua ibadah-ibadah ini tidak diperintahkan oleh syara’, sedangkan asas dalam beribadat adalah dilarang, dan manusia tidak boleh mencipta apa yang dia mau dalam ibadahnya, kerana yang berhak dijadikan ibadah dan menentukan cara ibadah itu adalah Allah Azza Wa Jalla “Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?” (Q.S.Al-Syu’ara:21)

Oleh sebab itu kita mestilah sentiasa berpegang kepada apa yang datang (dari Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam) dan tidak melakukan lebih dari doa yang maktsur (yang datang dari Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam) itulah yang baik.
Wa Allah A’alam

Diterjemah dari website: http://www.qaradawi.net
Sila baca lagi di http://drmaza.com/home/?p=646

Note:
Bagi sahabat-sahabat yang ingin merujuk kitab Al-Syafi'iyah sila rujuk kitab (Nihayatu Al-Muhtaj : jld.2.m/s.124) di sana dikatakan bahawa "Solat Al-Raghaib malam Jumaat pertama bulan Rajab dan Nisfu Sya'ban adalah (kedua-duanya) bid'ah yang buruk lagi dicela, dan hadisnya adalah batal"

Baca Sepenuhnya/Read Full Post...

PUASA SYA'BAN

Soalan:
Adakah hari-hari tertentu untuk dipuasakan di dalam bulan Sya’ban?

Jawab:
الحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه، ومن اتبعه إلى يوم الدين، وبعد :
Bulan Sya’ban adalah di antara bulan-bulan yang dianjurkan oleh Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam untuk berpuasa lebih banyak dari bulan-bulan yang lain.


A’isyah r.a telah meriwayatkan bahawa Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam tidak pernah sekalipun melengkapkan puasa sebulan selain daripada Ramadan, berbeza dengan yang diamalkan oleh sesetengah orang ramai di beberapa negara Arab, yang mana mereka berpuasa selama tiga bulan, iaitu Rajab, Sya’ban dan Ramadan serta enam hari pada bulan Syawal. Maknanya, mereka berpuasa mulai bulan Rajab sampai 7 hari bulan Syawal kecuali hari pertama.

Puasa seperti itu tidak ada warid (datang) dari Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam, para Sahabat atau dari kalangan Tabiien.

Memang, Nabi sallallah ‘alaihi wa sallam ada berpuasa pada setiap bulan, dan ’Aisyah r.a. berkata : “ Adalah Baginda sallallah ‘alaihi wa sallam berpuasa sehingga kami mengatakan bahawa Baginda tidak berbuka, dan Baginda juga berbuka, sehingga kami mengatakan bahawa Baginda tidak berpuasa, dan kadang-kadang Baginda berpuasa pada Isnin dan Khamis, dan kadang-kadang tiga hari setiap bulan khususnya Hari-Hari Putih, dan kadang-kadang Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Daud a.s. yang berpuasa selang sehari”.

Baginda sallallah ‘alaihi wa sallam paling banyak berpuasa pada bulan Sya’ban, seolah-olah sebagai persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan, namun begitu tiada sekalipun didapati bahawa Baginda berpuasa pada hari-hari yang tertentu.

Dalam syara’ tidak dibenarkan mengkhususkan hari-hari tertentu untuk berpuasa, atau mengkhususkan malam-malam tertentu untuk qiyam al-lail tanpa bersandarkan kepada syara’. Sesungguhnya perkara seperti ini tak seorangpun yang berhak, ia adalah hak syara’ secara mutlak untuk menentukan masa ataupun tempat untuk beribadat, sebagaimana hanya syara’ sahajalah yang berhak menentukan bentuk dan cara beribadah bukan hak manusia.
Wa Allah Ta’ala A’alam.

Baca Sepenuhnya/Read Full Post...