Mudah-mudahan Allah menerima ketaatan anda semua, semoga sepanjang tahun anda dalam keadaan baik sempena kedatangan Eidil Fitri mulia ini, kita berdoa kepada Allah swt. semoga dalam suasana hari raya ini kita berada dalam keadaan aman, damai, iman, Islam dan mendapat taufiq untuk melakukan perkara yang Allah suka dan redhai, dan semoga Allah menjadikan hari raya ini membawa berita gembira dan barakah kepada umat Islam, di samping membawa berita menakut dan mengecewakan kepada musuh-musuh umat ini.
Hari raya bagaikan stesen tempat berehat dalam suatu perjalan kehidupan, atau tempat berteduh di padang pasir kehidupan, oleh sebab itu umat terdahulu mencipta suatu hari untuk beraya, bergembira dan bersukaria, Islam datang dan mendapati sudah ada hari raya, lalu Islam mengiktirafnya, oleh sebab itu wujudlah Eid Al-Fitri dan Eid Al-Adha yang merupakan dua hari raya dalam Islam.
Allah telah menghubungjalinkan hari raya dalam Islam dengan beberapa amalan fardhu dan ibadat ritual yang agung, yang mana Eid Al-Fitri dihubungkan dengan puasa, maka jadilah Eid Al- Fitri itu sebagai hari raya dari berpuasa, Rasul Sallallah ‘alaihi wa sallam mengatakan bahawa “Orang Islam memiliki dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka puasa dia gembira dengan berbuka, dan ketika bertemu dengan Rabnya dia gembira dengan puasanya”,
Gembira dengan berbuka itu ada dua pengertian:
Pertama, gembira setiap hari ketika terbenam matahari semasa azan dikumandangkan yang merupakan kegembiraan semulajadi, kerana telah dihalalkan perkara yang diharamkan sebelumnya, dia boleh makan dan minum dan bermesraan, ketika itu dia mengucapkan “ Telah hilang haus, basah semua urat-urat dan telah tercatat pahala, Insya Allah”
Kedua, gembira keagamaan, kerana menadapat taufiq bagi melaksanakan taat, iaitu kegembiraan orang ramai yang muncul di akhir Ramadan, sebabnya adalah kerana telah berakhirnya bulan Ramadan yang mana Allah telah memberi taufiq kepadanya sehingga dia dapat melaksanakan taat dan menunaikan kewajipan dalam bulan ini, itulah firman Allah swt. “Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". (Q.S.Yunus:58). Oleh sebab itu kita selalu melihat pada hari raya muka orang yang berpuasa cerah dan ketawa kegembiraan.
Hari raya muslimin terikat dengan dua makna yang besar, iaitu makna Rabbani dan makna Insani, makna Rabbani ialah kita tidak boleh melupakan Rab pada hari raya, hari raya bukan hari untuk meluncur di belakang syahwat, tetapi hari raya mesti dimulai dengan takbir dan solat Eid serta mendekatkan diri kepada Allah Azza Wa Jalla, hari raya bukanlah bermakna bebas dari ibadat dan taat untuk berbuat apa sahaja yang diinginkan, sedangkan makna Insani pula terserlah dalam kegembiraan, keseronokan, bermain dan bernyanyi serta memakai baju baru dan mempererat silaturrahim sesama manusia. Oleh sebab itu disyariatkan pada hari raya ini zakat fitrah yang telah diwajibkan oleh Nabi Sallallah ‘alaihi wa sallam ke atas orang tua, muda, merdeka, hamba, lelaki dan perempuan, dan ia merupakan pembersihan bagi orang yang berpuasa daripada segala kekurangan dan kesia-siaan semasa berpuasa, selain ia juga merupakan pemberian makan kepada orang miskin, Rasul saw. berkata “Cukupkan mereka supaya mereka tidak tercari-cari pada hari itu”, maknanya, kita pergi mencari mereka dan memberi mereka makan dan keperluan supaya mereka berpeluang merasai kegembiraan hari raya, sehingga kegembiraan hari raya itu tidak terbatas hanya di kalangan orang-orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin bermuram durja, iaitu apabila orang miskin melihat anak orang kaya memakai baju baru sedangkan anaknya memakai pakaian buruk dan kumal, atau dia melihat orang kaya makan yang sedap dan enak sedangkan dia tak mendapati sesuatu untuk mengalas perutnya yang dibakar oleh kelaparan, maka jadilah hari raya sebagai musibah dan petaka yang menyedihkannya, itulah sebabnya Islam mewajibkan zakat fitrah demi untuk memenuhi keperluan orang miskin sempena hari raya ini.
Di samping itu zakat fitrah juga sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa dari hal-hal yang sia-sia dan rafas iaitu hubungan sex atau perkataan-perkataan yang mengarah kepada hal itu, Nabi Sallallah ‘alaihi wa sallam bersabda: “Puasa bukan sekedar dari makan dan minum, tapi puasa daripada perkara sia-sia dan rafas”. Jadi, Allah swt. telah menentukan kewajipan zakat fitrah ini sebagai menutupi kekurangan yang berlaku semasa berpuasa. Dulu pada masa Nabi Sallallah ‘alaihi wa sallam, orang mengeluarkan zakat fitrah ini selepas solat subuh, iaitu antara solat subuh dan solat eid al-fitri kerana orang masih sedikit, tetapi masyarakat sudah mulai ramai pada masa sahabat, mereka mengeluarkan zakat sehari atau dua hari sebelum hari raya, begitu juga semasa Imam-imam mazhab, masyarakat semakin ramai, maka sebahagian mereka membolehkan pengeluaran zakat dari pertengahan Ramadan, bahkan ada yang membolehkannya dari awal Ramadan, oleh sebab itu tidak sepatutnya zakat dilambatkan sampai solat eid, dan sesiapa yang melambatkannya sehingga solat eid maka hukumnya adalah makruh, dan jika hari raya pun telah berlalu, zakat masih belum dilaksanakan, hukumnya adalah haram, namun zakat tidak gugur dan ia menjadi hutang yang mesti dibayar kepada orang yang mustahaq.
Ada suatu kebiasaan yang mengecewakan dalam masyarakat kita sekarang, yang mana kegembiraan itu hanya berlaku pada kanak-kanak sahaja, pada hal kegembiraan itu telah disyariatkan untuk kanak-kanak dan orang dewasa juga. Sejarah Nabi Sallallah ‘alaihi wa sallam adalah panduan bagi kita. Pernah pada suatu hari raya Nabi Sallallah ‘alaihi wa sallam membenarkan orang-orang Habsyah untuk menari dan bermain bersukaria dengan alat-alat perang mereka di masjid Nabi Sallallah ‘alaihi wa sallam yang mulia, dan Baginda memberi sokongan kepada mereka dengan mengatakan: “Teruskan wahai Bani Arfidah” dan Baginda membenarkan isterinya Aisyah memanjat bahunya dari belakang yang pada masa itu rumah Baginda bersebelahan dengan masjid dan Baginda membiarkannya melihat kepada orang-orang Habsyah sehingga dia puas dan jemu, lalu Baginda berkata: “Sudah cukup?” , Aisyah menjawab: “Sudah cukup”. Jadi Rasul Sallallah ‘alaihi wa sallam menyokong mereka bermain kerana Baginda memang sedia maklum bahawa mereka suka bermain.
Pada ketika yang lain, Sayyidina Abu Bakr ra. Masuk ke rumah Aisyah ra. Pada hari raya, Aisyah bersama dengan dua orang kanak-kanak lainnya, mereka berdua sedang menyanyi dan bergendang sambil mendendangkan lagu arab jahiliyah, lalu Abu Bakr menghardik mereka berdua seraya berkata: “Adakah gendang syaitan di rumah Rasulullah Sallallah ‘alaihi wa sallam?” padahal Rasul Sallallah ‘alaihi wa sallam ada di situ dalam keadaan menutupi badannya dengan pakaian yang disangka Abu Bakr sedang tidur dan juga menyangka Aisyah membuat perkara tadi tanpa keizinan dari Rasul Sallallah ‘alaihi wa sallam, maka Nabi Sallallah ‘alaihi wa sallam bergegas membuka mukanya lalu berkata: “Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakr, sesungguhnya setiap qaum mempunyai hari raya, dan ini adalah hari raya kita, supaya orang Yahudi tahu bahawa di dalam agama kita ada masa bergembira dan sesungguhnya aku diutus dengan agama yang lurus dan mudah”, Jadi Islam bukanlah merupakan agama yang kaku atau menyusahkan, tapi ia adalah agama yang sesuai dengan fitrah kemanusiaan, dan fitrah itu suka kepada bersenang-senang dan bermain, khususnya pada kesempatan ini.
Sebaliknya juga ada perkara yang mendukacitakan, dalam masalah ibadah, kita dapati kebanyakan orang pergi ke mesjid tanpa membawa bersama anak-anak kecil mereka, yang pergi ke masjid hanya kaum lalaki tanpa kaum wanita, itu adalah sunnah yang telah dibunuh oleh orang-orang Islam, padahal Rasul Sallallah ‘alaihi wa sallam telah mensyariatkan hari raya sebagai hari bergembira untuk ummat ini seluruhnya, samada tua, muda, lelaki ataupun wanita, sehingga Ummu ‘Athiyah berkata: “Kami diperintahkan supaya mengeluarkan al-awatiq (iaitu anak-anak dara yang berkurung di rumah) pada hari raya” supaya mereka dapat melihat kebaikan dan mendengar khutbah serta menyaksikan kegembiraan yang hebat ini. Jadi agama Islam menganjurkan supaya solat eid diadakan di tempat solat (musolla), bukan di masjid, supaya ahli qaryah semua, atau penduduk bandar semua, jika mungkin, dapat melaksanakan solat di musolla yang sama agar mereka dapat mengucapkan tahniah dan saling bersalaman antara satu sama lain.
HARI RAYA
sabili, 26 September 2009
Labels:
Al-Qaradawi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

Comments :
Post a Comment