Semua ibadah yang diperintahkan kepada manusia adalah semata-mata datang dari Syari’ (Yang Membuat Syari’at). Seandainya tidak ada wahyu yang menerangkan ibadah tersebut tentu kita tidak akan dapat melaksanakannya sesuai dengan kehendak syara’.
Misalnya sembahyang lima waktu, bilangan rakaat, waktu dan cara pelaksanaannya, semua hal tersebut hanya agama sahajalah yang berhak menerangkannya.Oleh sebab itu Rasul Sallahu Alaihi Wa Sallam bersabda:"Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang" (H.R.Al-Bukhari). Begitu juga ibadah-ibadah yang lain cara dan tertib pelaksanaannya tidak boleh ditentukan oleh akal fikiran dan kehendak manusia.
Itulah erti ibadah yang tercakup dalam firman Allah SWT:
الذين آمنوا وعملوا الصالحات
Ertinya : “Mereka yang beriman dan beramal soleh”
Ayat ini diulang sebanyak tujuh puluh kali di dalam Al-Quran, menunjukkan pentingnya amal soleh itu didasari oleh keimanan (ikhlas) yang hanya mengikut arahan dan pesanan Allah semata.
Jadi ibadah yang ditetapkan syara’ , bilangan ataupun caranya mestilah kita terima mengikut apa adanya. Kita tidak boleh mencampurnya dengan menambah atau menguranginya.
Mempermainkan perkara ibadah, baik bentuk ataupun caranya akan menghilangkan erti ibadah itu sendiri, bahkan hal itu akan membuka peluang yang besar kepada orang yang sudah rosak untuk mengambil faedah dari ibadah-ibadah itu bagi kepentingan individunya.
Dalam hal ibadah haji juga demikian, Rasul Sallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: "Ambillah manasik kamu daripadaku" (Fath Al-Bari:3/675) bahkan akibatnya lebih parah lagi jika ibadah ini rosak dan tidak diterima oleh Allah SWT, pahala tak kunjung datang, tenaga dah banyak hilang, duitpun banyak melayang. Yang diharap hajji mabrur, tapi yang dapat hajji kabur. Wal ‘Iyazu Billah.
Di sini saya cuba memberi panduan kepada kita semua beberapa kesilapan yang selalu berlaku semasa mengerjakan ibadah haji yang saya terjemah dari laman web: http://www.ibnothaimeen.com
(I) IHRAM DAN BEBERAPA KESALAHAN SEWAKTU MELAKUKANNYA
Imam Al-Bukhari, Imam Muslim dan Imam-Imam hadis yang lain telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi Muhammad (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) “telah menetapkan miqat penduduk Madinah ialah Zu Al-hulaifah, miqat penduduk Syam ialah Al-Juhfah, dan miqat penduduk Yaman ialah Yalamlam” seterusnya Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bersabda “tempat-tempat tersebut adalah miqat bagi penduduk yang menetap padanya dan orang-orang yang melaluinya”.
Sebagaimana ada riwayat dari Aisyah r.a bahawa Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) “telah menetapkan miqat penduduk Iraq ialah Zat ‘Irqin”. (H.R.Abu Daud dan Al-Nasai)
Dan juga diriwayatkan dalam dua kitab Sahih Al-Bukhari dan Muslim hadis Abudullah Ibnu Umar r.a. bahawa Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bersabda: “Penduduk Madinah bertalbiyah dari Zu Al-Hulaifah, penduduk Syam dari Al-Juhfah dan penduduk Najd dari Qarn (Qarnul Manazil)” (Al-Hadis)
Maka miqat-miqat yang telah ditetapkan oleh Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) ini adalah batas-batas Syara’ yang mutlaq yang diwarisi dari Syari’ (Yang Menetapkan Syara’) yang tidak boleh diubah, dilanggar atau dilalui tanpa berihram oleh sesiapa yang hendak menunaikan haji atau umrah, dan sesiapa yang berbuat demikian (mengubah dan melanggar ketetapan miqat) maka dia telah melanggar batas-batas Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Firman Allah :
" ومن يتعد حدود الله فأولئـك هم الظلمون "
“ Dan barang siapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka itulah orang-orang yang zalim ” (Q.S.Al-Baqarah : 229)
Sebagaimana yang telah dikatakan oleh Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) dalam hadis Ibnu Umar r.a. di atas “Penduduk Madinah bertalbiyah dari Zu Al-Hulaifah, penduduk Syam dari Al-Juhfah dan penduduk Najd dari Qarn (Qarnul Manazil)” walaupun lafaznya berbentuk berita tetapi bermaksud perintah.
Oleh kerana itu, sesiapa yang melalui jalan darat dan melalui miqat tersebut atau tempat yang sejajar dengannya, hendaklah dia turun dan melakukan hal-hal yang sepatutnya dilakukan oleh orang-orang yang hendak berihram, seperti mandi, memakai bau-bauan di badannya, memakai pakaian ihram dan berniat ihram sebelum meninggalkannya.
Begitu juga yang melalui jalan laut, jika kapal berhenti pada tempat yang sejajar dengan miqat, hendaklah ia melakukan perkara-perkara tadi semasa kapal berhenti dan berniat ihram ketika kapal hendak berjalan. Tetapi jika kapal tidak berhenti pada tempat yang sejajar dengan miqat, maka lakukanlah perkara-perkara tadi sebelum kapal sampai di tempat yang sejajar dengan miqat dan berniat ketika kapal sudah sampai sejajar dengan miqat.
Namun bagi jamaah yang menggunakan laluan udara, hendaklah dia mandi terlebih dahulu sebelum menaiki pesawat, kemudian memakai bau-bauan di badannya dan memakai pakaian ihram sebelum pesawat berada sejajar dengan miqat dan berniat ihram jika pesawat telah menghampiri tempat yang sejajar dengan miqat kerana pesawat bergerak laju dan tidak ada peluang untuk berniat pada tempat yang benar-benar sejajar dengan miqat, bahkan tidak mengapa jika jamaah berniat awal-awal lagi sebelum itu kerana berhati-hati (ihtiyath), sebab hal yang demikian tidak mencacatkannya.
Malangnya, ada sebahagian jamaah telah melakukan kesalahan, mereka menaiki pesawat melalui miqat atau tempat yang sejajar dengan miqat tanpa berihram sehinggalah mereka sampai di Airport Jeddah, barulah mereka berihram. Hal ini bercanggah dengan apa yang disuruh oleh Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) dan telah melanggar batas-batas Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Di dalam kitab Sahih Al-Bukhari ada diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. bahawa ketika kedua-dua kota Basrah dan Kufah dikuasai, mereka bertanya kepada Umar : (Ya Amiral Mukminin, sesungguhnya Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) telah menentukan (miqat) bagi penduduk Najd ialah Qarn (Qarn Al-Manazil), tapi itu jauh dari laluan kami dan menyusahkan kami jika mesti mendatanginya), maka Umar menjawab: “Lihatlah tempat yang sejajar dengannya (dengan Qarn) di laluan kamu”. Maka Umar yang merupakan salah seorang Khulafa Al-Rasyidin yang telah menentukan miqat bagi penduduk yang tidak melalui miqat sebenar, adalah tempat yang sejajar dengannya, dan tidak ada perbezaan antara jamaah yang melalui udara atau darat.
Jadi sesiapa yang telah tersalah, dengan cara berihram dari Jeddah, wajiblah kembali ke miqat dan mesti berihram darinya. Sesiapa yang tidak berbuat demikian dan terus berihram dari Jeddah (menurut pendapat kebanyakan ulama) dia wajib membayar fidyah yang disembelih di Makkah dan membahagikan dagingnya kepada orang-orang faqir dan tidak boleh memakan sebahagian dari padanya atau memberikannya kepada orang-orang kaya, kerana fidyah itu serupa dengan kaffarah.
(II) TAWAF
Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) memulakan tawaf daripada Al-Hajar Al-Aswad di Rukun Yamani bahagian Timur Baitullah, dan Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) tawaf dengan mengelilingi keseluruhan Baitullah dari luar Hijr Ismail dan juga melakukan raml (berlari-lari anak dengan memendekkan langkah tanpa melompat) pada tiga tawaf pertama sahaja. Hal ini diriwayatkan pada masa pertama Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) datang ke Makkah.
Semasa tawaf Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) juga melakukan Istilam (menjabat) Al-Hajar Al-Aswad dan menciumnya, atau Istilam dengan tangannya dan mencium tangannya, ada juga Baginda melakukan Istilam Al-Hajar Al-Aswad dengan tongkatnya dan mencium tongkat tersebut sewaktu Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam)tawaf dengan menunggang unta. Pernah pula Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) hanya memberi isyarat ke arah Al-Hajar Al-Aswad sewaktu melaluinya. Di samping itu ada juga riwayat yang mengatakan Baginda ada melakukan Istilam pada Rukun Yamani.
Perbezaan cara-cara Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) melakukan Istilam itu hanyalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang mudah dilakukan (Wa Allahu A’lam) maka apa yang mudah Baginda lakukan itulah yang dia lakukan, kerana semua yang Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) lakukan itu samada Istilam, mencium atau isyarat ke Al-Hajar Al-Aswad adalah perkara ta’abbudi (ibadah) semata-mata kerana Allah dan meng-Agungkan-Nya, bukan menganggap bahawa Al-Hajar itu memberi manfaat ataupun memberi mudarat, sebagai mana ada diriwayatkan dalam kitab Al-Bukhari dan Muslim bahawa Umar r.a. pernah mencium Al-Hajar Al-Aswad itu sambil berkata kepadanya : “Sesungguhnya aku tahu engkau adalah batu yang tidak memberi manfaat ataupun mudarat, dan kalaulah aku tidak melihat Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) mencium engkau, aku tidak akan mencium engkau”.
KESALAHAN YANG KERAP DILAKUKAN OLEH JAMAAH HAJI DARI ASPEK PERBUATAN
1. Memulakan tawaf sebelum Al-Hajar Al-Aswad, iaitu pada bahagian di antara Rukun Yamani dan Al-Hajar Al-Aswad . Ini adalah perbuatan melampau di dalam agama yang ditegah oleh Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) dan jika dibandingkan ia solah-olah sama dengan perbuatan mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari yang juga telah dilarang oleh Rasul(Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam)
Adapun alasan untuk lebih ihtiyath (berhati-hati) tidak dapat diterima, kerana ihtiyath yang benar dan berfaedah ialah mengikut Syariat dan tidak mendahului Allah dan Rasul-Nya (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam).
2. Ketika orang ramai bersesak-sesak, ada sebahagian jamaah tawaf melalui Hijr Ismail. Ini adalah kesalahan yang besar yang menyebabkan tawaf tersebut tidak sah, kerana sebenarnya ia tidak tawaf (mengelilingi) keseluruhan Baitullah, akan tetapi mengelilingi sebahagian sahaja.
3. Melakukan raml (berlari-lari anak) pada keseluruhan tawaf.
4. Berasak-asak yang bersangatan untuk mencium Al-Hajar Al-Aswad yang boleh menyebabkan berlaku perkara yang tidak patut seperti menyakiti orang lain, memaki dan berkelahi sehingga mengakibatkan berpukulan antara satu sama lain atau mengeluarkan kata-kata kesat, tidak sepatutnya berlaku di tempat seperti ini iaitu Masjid Al-Haram Allah yang di bawah naungan-Nya. Hal ini boleh mencacatkan tawaf bahkan ibadah haji keseluruhnnya, kerana Allah berfirman :
" الحج أشهر معلومت فمن فرض فيهن الحج فلا رفث ولا فسوق ولا جدال في الحج "
“(Musim) Haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh), berbuat fasiq dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji”. (Q.S.Al-Baqarah:197).
Lagi pula berasak-asak tersebut boleh menghilangkan rasa khusyu’ dan melalaikan orang daripada mengingat Allah, pada hal kedua-duanya adalah merupakan matlamat yang paling agung ketika tawaf.
5. Menganggap zat Al-Hajar Al-Aswad itu memberi manfaat, ada sebahagian jamaah apabila selesai melakukan Istilam, mereka menggosok-gosokkan tangan ke seluruh tubuh badan mereka atau menyapukan tangan tersebut kepada anak-anak mereka yang ada bersama. Semua ini adalah kejahilan dan kesesatan, kerana yang memberi manfaat atau mudarat itu adalah Allah sahaja, sebagaimana yang dikatakan oleh Umar r.a di atas tadi.
6. Melakukan Istilam pada semua rukun (sudut) Kaabah, bahkan sebahagian mereka Istilam dan menyapu keseluruhan dinding Kaabah. Ini juga kejahilan dan kesesatan, kerana Istilam adalah suatu ibadah yang mengagungkan Allah ‘Azza Wa Jalla, maka hendaklah mengikut dan sesuai dengan ajaran Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) sedangkan Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) tidak pernah Istilam kecuali pada dua Rukun Yamani (iaitu Al-Hajar Al-Aswad di Rukun Yamani sebelah Timur Kaabah dan Rukun Yamani sebelah Barat).
Dalam Musnad Imam Ahmad diriwayatkan dari Mujahid dari Ibnu Abbas r.a. bahawa dia tawaf bersama Muawiyah r.a. lalu Muawiyah melakukan Istilam semua Rukun-rukun Kaabah. Maka Ibnu Abbas berkata: “Mengapa engkau Istilam pada dua Rukun ini pada hal Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) tidak Istilam pada kedua-duanya?” Muawiyah menjawab: “Tiada yang dihalang dari pada Kaabah ini sedikitpun”. Maka Ibnu Abbas berkata : “Sesungguhnya diri Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) adalah contoh yang baik”. Lalu Muawiyah berkata : “Benarlah engkau”.
KESALAHAN YANG BERLAKU DARI ASPEK PERKATAAN (BACAAN)
Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bertakbir setiap kali mendatangi Al-Hajar Al-Aswad, dan Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) membaca di antara Rukun Yamani dan Al-Hajar Al-Aswad:
" ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار "
"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" (Q.S.Al-Baqarah : 201)
dan Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bersabda “Tawaf di Baitullah dan di Safa dan Marwah dan melontar Jamrah dijadikan/disyariatkan hanya untuk mengingati Allah” (H.R.Tirmizi)
Kesalahan jamaah ketika tawaf ialah mengkhususkan pada setiap keliling dengan doa yang tertentu tanpa berdoa dengan yang lain, sehingga apabila dia sudah menyempurnakan satu keliling tapi doa masih belum sempurna, dia akan segera menghentikan doa tersebut sekalipun hanya tinggal satu kalimat sahaja lagi. Hal ini berlaku kerana dia akan membaca doa yang baru bagi keliling yang berikutnya, ada juga jamaah bila doa sudah selesai sedangkan belum sempurna keliling, maka dia hanya diam sahaja.
Pada hal tidak ada dari Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) doa tawaf yang dikhususkan bagi setiap keliling. Imam Ibnu Taimiyyah ada mengatakan : (Tidak ada pada tawaf itu zikir yang tertentu dari Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) samada dengan perintahnya, perbuatannya ataupun pengajarannya, tetapi Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berdoa dengan semua doa yang dibolehkan Syariat, maka apa yang dibaca oleh kebanyakan orang doa-doa tertentu di bawah Mizab dan seumpamanya adalah tidak ada asal mulanya dari Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) )
Oleh sebab itu, bagi jamaah yang melakukan tawaf hendaklah dia berdoa dengan doa-doa apa sahaja yang dia suka untuk kabaikan dunia dan akhiratnya, dan berzikir kepada Allah dengan zikir apa sahaja yang disyariatkan seperti tasbih, tahmid, tahlil, takbir atau pun membaca Al-Quran.
Kesalahan lain ialah sebahagian jamaah membaca doa-doa yang bertulis, tanpa mengetahui maknanya. Kemungkinan ada kesalahan pada cetakan yang boleh mengubah makna dan menjadikan kepala jadi kaki, doa baik jadi doa buruk, sehingga akhirnya dia pun mendoakan kecelakaan untuk dirinya tanpa disengaja. Hal yang aneh ini memang pernah kami dengar.
Seandainya jika dia membaca doa apa sahaja yang dia suka dan faham maknanya adalah lebih baik dan lebih berfaedah untuknya, sesungguhnya pada diri Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) itu banyak teladan dan ikutan.
Di antara kesalahan lain ialah sebahagian orang yang hendak tawaf berhimpun di belakang seorang pemimpin tawaf yang membacakan doa tawaf kepada mereka dengan suara yang tinggi. Lalu jamaah pun mengikutinya dengan serentak tanpa memahami makna yang mereka baca sehingga membuat bising dan kacau dan mengganggu jamaah tawaf yang lain. Semua ini menyebabkan hilang kekhusukan bahkan boleh menenyakiti perasaan hamba-hamba Allah yang lain di tempat yang aman ini. Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) pernah menerangkan kepada orang yang sedang sembahyang dan meninggikan suara bacaan mereka dengan mengatakan : “Setiap kamu bermunajat kepada Tuhan, maka janganlah sebahagian kamu meninggikan suara di atas sebahagian yang lain sewaktu membaca Al-Quran” (H.R.Imam Malik)
Alangkah baiknya, jika pembimbing tawaf itu ketika berada di Kaabah menerangkan kepada mereka “Buatlah begini, bacalah ini, dan berdoalah kamu dengan doa yang kamu suka”, lalu dia berjalan bersama mereka di tempat tawaf supaya semua orang tidak melakukan kesalahan, hasilnya mereka dapat melakukan tawaf dengan khusuk dan tenteram sambil berdoa kepada Tuhan dalam keadaan takut dan harap dengan doa yang mereka fahami makna dan maksudnya. Akhirnya orang lain pun terselamat daripada gangguan mereka.
(III) SEMBAHYANG DUA RAKAAT SELEPAS TAWAF DAN KESALAHAN PADANYA
Selesai tawaf Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) menuju Maqam Ibrahim sambil membaca :
"واتخذوا من مقام إبراهيم مصلى"
(… dan jadikanlah sebahagian Maqam Ibrahim itu tempat solat…) (Q.S.Al-Baqarah:125)
Kemudian Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) sembahyang dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim (dengan menjadikan Maqam Ibrahim berada di antaranya dan Kaabah), dengan membaca Surah Al-Fatihah dan Al-Kafirun pada rakaat pertama dan Surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas pada rakaaat kedua.
Kesalahan yang kerap berlaku ialah anggapan para jemaah bahawa sembahyang dua rakaat tersebut mesti dilakukan berdekatan dengan Maqam Ibrahim yang menyebabkan mereka berasak-asak untuk itu dan mengganggu orang yang sedang melakukan tawaf.
Anggapan ini adalah salah, kerana dua rakaat selepas tawaf itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja dalam Mesjid Al-Haram sekali pun agak jauh dari Maqam Ibrahim asalkan berlokasi di belakang Maqam Ibrahim, untuk menghindarkan diri dari keadaan yang menyusahkan diri sendiri dan orang lain dan dapat melakukan sembahyang dengan khusyuk dan tenang.
Kesalahan lain ialah sebahagian jamaah melakukan sembahyang di belakang Maqam Ibrahim dalam jumlah rakaat yang banyak tanpa bersebab, pada hal jamaah lain yang selesai tawaf juga mahu melakukan solat di tempat tersebut.
Terdapat juga sebahagian jamaah apabila selesai sembahyang dua rakaat tersebut, salah seorang daripada pembimbing mereka berdiri dan memimpin doa dan mereka pun berdoa bersama dengan suara yang tinggi yang mengganggu jamaah lain yang sedang sembahyang.
Allah berfirman : "ادعوا ربكم تضرعا وخفية إنه لا يحب المعتدين"
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampau batas” (Q.S.Al-‘Araf : 55)
(IV) SA’IE ANTARA SAFA DAN MARWAH DAN KESALAHAN YANG BERLAKU PADANYA
Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) ketika melakukan Sa’ie, jika sudah dekat dengan Safa, Baginda membaca : " إن الصفاوالمروة من شعائر الله "
“Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian dari pada Syi’ar Allah
" (Q.S.Al-Baqarah:158)
Kemudian Baginda (Shalla Allah 'Alaihi Wa Sallam) naik ke atas Bukit Safa sehingga Baginda (Shalla Allah 'Alaihi Wa Sallam) nampak Kaabah lalu Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) menghadap qiblat dan mengangkat kedua tangan dan memuji Allah kemudian Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berdoa perkara-perkara yang ia kehendaki, lalu Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bertahlil dan bertakbir :
لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد وهو على كل شيئ قدير ، لا إله إلا الله وحده ، أنجز وعده ، ونصر عبده ، وهزم الأحزاب وحده
“Tiada Tuhan yang disembah dengan Haq selain Allah, tiada sekutu bagi-Nya, hanya milik-Nya lah kerajaan, dan hanya milik-Nya lah segala pujian, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Tiada Tuhan yang disembah dengan Haq selain Allah, Dia Menepati janji-Nya, dan Dia Menolong hamba-Nya, dan Dia membinasakan segala seteru-Nya”
Kemudian Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berdoa di antara itu (takbir dan tahmid) dan membaca seperti itu tiga kali, kemudian Baginda turun dan berjalan dan ketika sampai di Bathnil Wadi iaitu tempat yang bertanda dengan dua tanda hijau Baginda melakukan sa’ie (berlari-lari anak) sehingga akhir dua tanda tersebut. Kemudian, Baginda berjalan sampai ke Marwah dan Baginda melakukan hal yang sama dengan apa yang Baginda lakukan ketika di Safa.
Kesalahan yang kerap dilakukan oleh jamaah ialah ketika mereka berada di atas Safa atau Marwah mereka menghadap ke qiblat lalu mereka bertakbir tiga kali dan mengangkat tangan dengan mengarahkannya ke qiblat sebagaimana ketika sembahyang, kemudian mereka turun.
Hal ini bercanggah dengan perbuatan Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam). Sepatutnya mereka melakukan perkara Sunnah seperti di atas jika berkesempatan, atau mereka tidak melakukannya sama sekali dan meninggalkan suatu yang baru yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam).
Kesalahan lain ialah mereka berjalan dengan laju pada keseluruhan sa’ie, ini juga bercanggah dengan Sunnah, kerana sa’ie (berlari-lari anak) itu hanya dilakukan sewaktu melalui dua tanda hijau sahaja, selainnya dilakukan dengan berjalan biasa di sepanjang tempat sa’ie, hal ini berlaku mungkin kerana kejahilan atau kebanyakan jamaah memang suka tergesa-gesa supaya dapat menyelesaikan sa’ie dengan segera. Kepada Allah sahajalah kita minta pertolongan.
(V) WUQUF DI ARAFAH
Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berada di Namirah pada hari Arafah sehingga tergelincir mata hari. Kemudian Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) menaiki kenderaan dan turun lalu sembahyang Zuhur dan Asar dua rakaat-dua rakaat jamak taqdim dengan sekali azan dan dua iqamat.
Kemudian Baginda menaiki kenderaan sehingga sampai ke tempat wuquf, lalu Baginda berhenti dan berkata:
“ Aku wuquf di sini dan seluruh Arafah adalah tempat wuquf ” (H.R.Muslim) dan Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) terus melakukan wuquf dalam keadaan menghadap qiblat dan mengangkat kedua tangannya sambil berzikir dan berdoa sehingga lah mata hari terbenam dan bahangnya hilang lalu Baginda bertolak ke Muzdalifah.
KESALAHAN YANG SELALU BERLAKU KETIKA WUQUF
1- Para jamaah wuquf di luar kawasan Arafah dan mereka duduk di rumah (tempat tinggal) mereka sehingga mata hari terbenam, kemudian meninggalkan Arafah menuju Muzdalifah tanpa melakukan wuquf di Arafah.
Ini adalah kesalahan yang besar yang membatalkan haji, kerana wuquf di Arafah adalah rukun haji dan tanpanya haji tidak sah. Sesiapa yang tidak wuquf di Arafah batallah hajinya, kerana Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bersabda: “ Haji itu adalah Arafah ”.(H.R.Abu Daud, Al-Tirmizi, Al-Nasai dan Ibnu Majah)
Punca kesalahan yang teruk ini berlaku kerana sebahagian daripada jamaah tertipu dengan sebahagian yang lain, mereka turun sebelum sampai ke Arafah tanpa mengetahui tanda-tandanya, maka batallah haji mereka dan haji orang lain yang mengikuti langkah mereka.
Alangkah baiknya jika ada Mutawwif (penyelia) haji yang dapat memberi maklumat awal kepada para jamaah dengan alat pembesar suara yang dapat didengar oleh semua jamaah dengan berbagai bahasa. Perlu juga diberi penakanan kepada Mutawwif supaya mereka mengingatkan para jamaah agar semua mereka memahami dengan benar tentang urusan ibadah mereka dan dapat menunaikan haji dengan sempurna.
2- Sebahagian mereka meninggalkan Arafah sebelum mata hari terbenam.
Ini adalah haram, sebab bercanggah dengan Sunnah Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) yang mana Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) melakukan wuquf sampai mata hari terbenam dan sampai bahangnya hilang, lagi pula meninggalkan Arafah sebelum mata hari terbenam merupakan perbuatan orang jahiliyah.
3- Sebahagian jamaah menghadap ke bukit Arafah ketika berdoa walau pun qiblat berada di belakang, di kanan atau di sebelah kiri mereka.
Hal ini bercanggah dengan Sunnah, kerana Sunnah Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) ialah menghadap ke qiblat ketika berdoa.
(VI) MELONTAR JAMRAH
Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) melontar Jamrah Al-Aqabah iaitu Jamrah yang akhir yang berdekatan Makkah dengan tujuh batu kecil pada waktu dhuha hari Nahar (10 Zu Al-Hijjah) sambil bertakbir pada setiap batu yang dilontar. Ukuran setiap batu ialah lebih besar sedikit dari pada kacang putih.
Dalam Sunan Al-Nasai dari hadis Al-Fadl bin Abbas r.a. ketika itu beliau mengiringi Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) dari Muzdalifah menuju Mina, dia berkata : “Nabi S turun dan berkata” : “ambillah batu kecil untuk melontar jamrah” dan beliau (Al-fadl) berkata : “Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) memberi isyarat dengan tangannya seperti orang melontar”.
Dalam Musnad Imam Ahmad dari Ibnu Abbas r.a. ( Yahya berkata bahawa ‘Auf tidak pasti apakah Abdullah atau Al-Fadl telah berkata : “Pada pagi Aqabah Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bersabda dari atas kenderaannya : “ Mari, kutipkan untuk ku ”, akupun mengutipkan untuk Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) beberapa batu kecil dan Baginda meletakkan batu itu di tangannya seraya berkata : “ Macam inilah ” dua kali, dan Baginda berkata dengan tangannya (Yahya pun mengisyaratkan dengan mengangkat tangannya) kemudian Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bersabda:
“ Jauhilah sifat melampau, sesungguhnya orang-orang sebelum kamu binasa disebabkan mereka melampau dalam agama ”.
Ada lagi riwayat Ummi Sulaiman bin ‘Amr bin Al-Ahwas r.a. berkata : “Aku melihat Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) melontar Jamrah Aqabah dari Bathni Al-Wadi pada hari Nahar sambil mengatakan : “Wahai manusia, janganlah sebahagian kamu membunuh sebahagian yang lain, apabila kamu melontar Jamrah, maka lontarlah dengan batu kecil” (H.R.Ahmad).
Di dalam Sahih Al-Bukhari dari Ibn Umar r.a. dinyatakan bahawa dia melontar Jamrah yang dekat (Jamrah Al-Ula) dengan tujuh batu diselangi dengan takbir pada setiap lontaran. Kemudian dia bergerak kehadapan mencari tempat yang agak selesa, lalu dia berdiri lama sambil berdoa dan mengangkat kedua-dua tangannya, kemudian dia melontar Jamrah Al-wustha. Kemudian dia bergerak ke kiri ke tempat yang agak selesa dan berdiri lama menghadap qiblat sambil berdoa dan mengangkat kedua-dua tangannya, kemudian dia melontar Jamrah Al-Aqabah dari Bathni Al-Wadhi dan dia tidak berdiri di situ, kemudian dia pun berlalu dan berkata : “Beginilah aku melihat Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) melakukannya”.
Imam Ahmad dan Abu Daud ada meriwayatkan dari Aisyah r.a. bahawa Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berkata : “Tawaf di Baitullah, Safa, Marwah dan melontar Jamrah hanya dijadikan/disyariatkan untuk mengingat Allah”.
KESALAHAN YANG BERLAKU KETIKA MELONTAR
1. Kebanyakan jamaah menganggap bahawa mengambil batu di Muzdalifah adalah satu kemestian, sehingga mereka menyusahkan diri mereka dengan mengutip batu-batu tersebut pada malam hari dan membawanya bersama beberapa hari di Mina. Adakalanya apabila salah seorang daripada mereka kehilangan batu, dia merasa sangat sedih, dan meminta jamaah lain supaya memberinya batu Muzdalifah yang berlebih.
Pada hal dari huraian di atas dapat difahami bahawa hal itu tidak ada asalnya dari Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) . Bahkan, Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) menyuruh Ibnu Abbas r.a. supaya mengutipkan batu untuknya semasa Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berhenti di atas kenderaannya, yang pada zahirnya tempat Baginda berhenti itu adalah di Jamrah, kerana tidak diriwayatkan Baginda berhenti selepas perjalanannya dari Muzdalifah sebelum itu dan kerana ini adalah waktu yang Baginda memerlukan batu tersebut, maka tidaklah mungkin Baginda menyuruh mengutip batu sebelumnya sebab tidak ada keperluan dan membebankan bagi Baginda untuk membawanya.
2. Anggapan para jamaah bahawa melontar Jamrah itu adalah melontar syaitan. Oleh sebab itu sebahagian mereka menyebut nama syaitan-syaitan sewaktu melontar, mereka berkata : “Aku melontar syaitan besar atau syaitan kecil”, yang lain mengatakan : “aku melontar bapa syaitan” ketika melontar Jamrah Al-Aqabah. Bahkan banyak lagi ungkapan seperti itu yang sebenarnya tidak patut diungkapkan di tempat Syi’ar ini.
Sebahagian yang lain melontar batu dengan kuat dan kasar diselangi dengan jeritan dan cacian terhadap syaitan-syaitan itu (menurut sangkaan mereka). Bahkan ada yang memanjat Jamrah kerana hendak melempar Jamrah dengan selipar dan batu besar dengan marah dan penuh emosi. Malangnya batu-batu itu mengenai jamaah lain, namun dia tetap bertambah geram dan marah dan terus melontar, sedangkan orang-orang disekitarnya mengetawakannya seolah-olah mereka sedang menyaksikan filem lawak. Semua anggapan seperti ini tidak ada dalil yang sah untuk dipegangi.
Dari huraian di atas, dapat diketahui bahawa hikmah melontar Jamrah adalah untuk mengingat Allah Azza Wa Jalla. Oleh sebab itu Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) sentiasa bertakbir selepas setiap lontaran.
3- Melempar Jamrah dengan batu besar, selipar, kasut dan kayu adalah kesalahan besar yang bercanggah dengan apa yang telah disyariat Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) ke atas umatnya dengan perbuatan dan perintahnya melalui lontaran Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) dengan batu-batu kecil dan memerintahkan umatnya agar melontar dengan batu-batu seumpamanya dan memberi ancaman ke atas tindakan melampau dalam agama.
1- Pergi ke Jamrah dengan cara kasar, tidak khusyu’ kepada Allah Ta’ala dan tidak menyayangi hamba-hamba Allah, sehingga tindakan mereka itu mengganggu orang muslimin lain dan membahayakan mereka serta memaki hamun dan memukul sehingga mencacatkan ibadah dan Syiar ini dan menjadikannya sebagai arena memaki hamun dan perbalahan dan jauh dari matlamat asal yang disyariatkan serta melencong dari ajaran Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam)
..
Diriwayatkan dalam sebuah Musnad dari Qudamah bin Abdullah bin ‘Ammar berkata : “Aku melihat Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) pada hari Nahar melontar Jamrah Al-Aqabah di atas unta tanpa memukul, menolak atau maenepis orang”. (H.R. Al-Tirmizi, dan Dia berkata : Hadis Hasan)
2- Tidak berhenti untuk berdoa selepas melontar Jamrah Al-Ula dan Jamrah Al-Wustha pada hari-hari Tasyriq. Pada hal kita telah mengetahui bahawa Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berhenti selepas melontar kedua-dua Jamrah itu seraya menghadap ke qiblat dan mengangkat kedua tangannya sambil berdoa dengan doa yang panjang.
Mereka tidak berhenti untuk berdoa, mungkin disebabkan kejahilan terhadap sunnah Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) atau kerana suka tergesa-gesa supaya cepat selesai dari suatu ibadah.
Alangkah baiknya, jika calon haji belajar terlebih dahulu hukum hakam haji sebelum menunaikannya agar dia dapat beribadah kepada Allah dengan ilmu pengetahuan dan menunjukkan rasa suka mengikut Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) .
Sama halnya dengan seorang yang hendak musafir ke suatu negeri, sudah pasti dia akan bertanya jalan mana yang mesti ditempuh untuk sampai ke destinasi dengan tepat. Maka lebih lagi bagi orang yang hendak berjalan menuju Allah dan syurganya, sudah tentulah dia mesti bertanya mengenai jalan tersebut agar dia sampai ke destinasinya.
3- Melontar batu keseluruhannya sekali gus.
Ini adalah kesalahan yang keji. Ulama telah mengatakan bahawa siapa yang melontar dengan sekali lontaran lebih dari sebiji batu, maka tidaklah dikira melainkan hanya sebiji batu sahaja. Jadi yang wajib ketika melontar ialah sebiji demi sebiji batu sebagaimana yang telah dipraktikkan oleh Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam).
4- Menambah doa-doa ketika melontar dengan doa-doa yang tidak berasal dari Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) seperti doa mereka :
اللهم اجعلها رضا للرحمن وغضبا للشيطان
artinya: (Ya Allah jadikanlan lontaran ini keredaan bagi Rahman dan kemurkaan bagi syaitan) bahkan mungkin mereka membaca doa itu tanpa bertakbir sebagaimana Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bertakbir.
Jadi yang lebih utama ketika ini adalah melakukan apa yang sabit dari Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) sahaja.
5- Memperlekehkan ibadat melontar Jamrah dengan mewakilkannya kepada orang lain bagi dirinya pada hal dia boleh melakukannya sendiri, kerana ingin mengelak daripada terbabit dalam kesesakan orang ramai dan kesukaran lain ketika melontar.
Hal ini bercanggah dengan apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. agar menyempurnakan ibadah haji dalam firman-Nya :
وأتموا الحج والعمرة لله
“Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah” (Q.S.Al-Baqarah : 196).
Maka wajib ke atas orang yang mampu agar melontar sendiri secara langsung dan bersabar atas kesukaran dan kesulitan yang dihadapi, kerana ibadah haji adalah ibadah jihad yang sudah tentu di dalamnya terdapat kesusahan dan kesukaran. Jamaah haji sepatutnya takut kepada Tuhannya dan hendaklah dia menyempurnakan ibadahnya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. semampu yang mungkin.
(VII) TAWAF WADA’
Ada beberapa riwayat mengenai tawaf wada’, di antaranya :
a. Di dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Muslim ada riwayat dari Ibnu Abbas r.a. berkata : “Telah diperintahkan kepada manusia agar akhir keberadaannya di Makkah ialah di Baitullah kecuali wanita yang haid”
b. Lafaz Muslim mengatakan : “Semua orang menuju ke destinasi masing-masing” maka Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bersabda : “Tidak seorang pun pergi melainkan akhir keberadaannya ialah di Baitullah”
c. Riwayat Abu Daud dengan lafaz : “sehingga akhir keberadaannya ialah tawaf di Baitullah”
d. Dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Muslim dari Ummi Salamah r.a. berkata : “Aku mengadu kepada Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bahawa aku demam, maka Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berkata : “Tawaflah engkau di belakang orang dalam keadaan berkenderaan” maka aku pun tawaf dan Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) sembahyang di sebelah Baitullah membaca:
( والطور وكتاب مسطور ) (Q.S.Al-Thur : 1-20)
e. Lafaz Al-Nasai mengatakan bahawa Ummi Salamah r.a. berkata : “Ya Rasulallah, demi Allah aku belum melakukan tawaf keluar, Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) menjawab : “Apabila sembahyang didirikan, tawaflah engkau di atas unta engkau dari belakang manusia” (yang sedang sembahyang)
f. Dalam Sahih Al-Bukhari dari Anas bin Malik r.a. berkata : “Bahawa Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) sembahyang zuhur, asar, maghrib dan isyak kemudian Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berbaring di atas batu, kemudian dia menaiki kenderaan menuju Baitullah lalu melakukan tawaf”.
g. Dalam Sahih Al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Safiyah r.a. haid selepas tawaf Ifadhah, Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berkata : “Adakah dia menahan kita?” Sahabat-sahabat menjawab ; “Dia sudah melakukan tawaf Ifadhah di Baitullah. Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) berkata lagi : “Kalau begitu dia bertolak”.
h. Dalam kitab Al-Muwaththa’ dari Abdillah Ibni Umar r.a. berkata bahawa Umar r.a. berkata : “Jangan seorangpun jamaah haji keluar sehingga dia tawaf di Baitullah, sesungguhnya akhir ibadah adalah tawaf di Baitullah”
i. Dalam kitab yang sama diriwayatkan dari Yahya bin Said berkata bahawa Umar r.a. pernah mengarahkan seorang lelaki dari Marra Al-Zahran untuk kembali (ke Makkah) kerana belum tawaf wada’ sehinggalah dia melakukannya.
KESALAHAN YANG SELALU DILAKUKAN PADA TAWAAF WADA’
1- Sebahagian jamaah turun dari Mina ke Makkah pada hari Nafar sebelum melontar keseluruhan Jamrah, lalu mereka melakukan tawaf Wada’ kemudian mereka kembali lagi ke Mina untuk melontar Jamrah dan seterusnya mereka musafir ke negeri masing-masing dari sana.
Hal ini tidak boleh dilakukan, sebab bercanggah dengan perintah Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) supaya akhir keberadaannya jamaah haji ialah di Baitullah. Maka sesiapa yang melontar selepas tawaf Wada’ bermakna akhir keadaanya ialah di Jamrah bukan di Baitullah. Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) tidak melaksanakan tawaf Wada’ melainkan ketika Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) hendak keluar setelah selesai dari semua urusan manasiknya. Bahkan Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) ada mengatakan : “Ambillah dari ku manasik kamu” (H.R.Muslim dan Abu Daud)
Kemudian Atsar Umar Ibnu Al-Khattab r.a. tadi jelas bahawa tawaf di Baitullah adalah akhir ibadah haji. Maka sesiapa yang tawaf Wada’ kemudian melontar selepas itu hukum tawafnya tidak sah kerana tidak pada masa yang sebenarnya. Oleh sebab itu dia wajib mengulanginya selepas melontar. Jika tidak mengulanginya, maka hukumnya serupa dengan meninggalkannya sama sekali.
2- Tetap tinggal (duduk) di Makkah selepas tawaf Wada’ juga dikira sebagai akhir keadaanya bukan di Baitullah.
Ini juga bercanggah dengan apa yang diarahkan dan diterangkan oleh Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) melalui perbuatannya. Sesungguhnya Baginda memerintahkan akhir keadaan jamaah haji ialah di Baitullah, dan Baginda juga tidak melaksanakan tawaf Wada’ melainkan ketika Baginda hendak keluar dan begitu jugalah amalan para Sahabat-sahabatnya.
Namun demikian Ulama ada memberi kelonggaran untuk menetap sementara di Makkah selepas tawaf Wada’ bagi menguruskan hajat keperluan yang tidak boleh dielakkan, seperti sudah Iqamat sembahyang fardhu selepas tawaf Wada’, maka mestilah dia turut serta. Begitu juga hendak sembahyang jenazah, atau urusan perjalanan seperti membeli barang keperluan atau menunggu teman dan seumpamanya. Jadi sesiapa masih menetap di Makkah selepas tawaf Wada’ untuk melakukan perkara-perkara yang tidak dikecualikan tadi, maka mestilah dia mengulangi tawaf Wada’ tersebut sekali lagi.
3- Keluar dari Masjid Al-Haram selepas tawaf Wada’ dengan cara mengundur ke belakang kerana menganggap itu adalah suatu penghormatan kepada Kaabah.
Ini bercanggah dengan sunnah Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bahkan ia adalah bid’ah yang diancam oleh Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) dalam sabdanya : “Semua bid’ah adalah sesat”.
Bid’ah ialah setiap perkara yang diada-adakan, baik dari segi aqidah atau ibadah yang bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) dan para Khulafa Al-Rasyidin.
Adakah orang yang berjalan mengundur tadi menyangka bahawa memuliakan Kaabah itu lebih utama dari pada memuliakan Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam), atau adakah dia menyangka bahawa Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) dan para Khulafa Al-Rasyidin tidak mengetahui bahawa perbuatan seperti itu adalah memuliakan Kaabah?.
4- Menoleh kembali ke arah Kaabah di pintu masjid selepas tawaf Wada’ sambil berdoa seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepada Kaabah.
Ini adalah bid’ah, kerana tidak ada datang dari Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) dan Khulafa Al-Rasyidin. Semua yang di anggap ibadah kepada Allah tetapi tidak ada dalam Syara’ adalah batal dan dikembalikan kepada pelakunya, berdasarkan sabda Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) “Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami yang bukan dari padanya adalah ditolak” yakni dikembalikan kepada pelakunya. (H.R.Al-Bukhari dan Muslim)
Maka sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) adalah wajib melakukan segala ibadah yang bersesuaian dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) supaya dengan cara itu dia dapat mencapai mahabbah Allah dan maghfirah-Nya, sebagai mana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 31 :
قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله ويغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم
“Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu."Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
Mengikut Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) pada perkara-perkara yang Baginda lakukan atau yang Baginda tinggalkan adalah sama. Jadi jika ada perkara yang sepatutnya Baginda lakukan pada masa hayatnya tapi Baginda tidak melakukannya itu adalah merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Sunnah dan Syariat menyuruh meninggalkannya, maka tidak boleh mengada-adakannya dalam agama Allah S.W.T. sekalipun manusia dan hawa nafsu menyukainya. Allah berfirman dalam Surah Al-Mukminun, Ayat 71 :
ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السموت والأرض ومن فيهن، بل أتينـهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون
“ Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya kami Telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (Al Quran) mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu”.
dan Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bersabda : “Kamu tidak beriman sehinggalah hawa kamu mengikuti apa yang aku bawa”
Kita memohon kepada Allah S.W.T. semoga menunjuki kita ke jalan-Nya yang lurus (Al-Shirath Al-Mustaqim) dan tidak melencongkan hati-hati kita setelah menunjuki kita, dan semoga Allah S.W.T. memberi kita Rahmat. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi.
Segala Puji Bagi Allah Tuhan Sekalian Alam, Serta Salawat Dan Salam Ke Atas Nabi Kita Muhammad (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) Dan Ke Atas Sekalian Sahabatnya.
IBADAH HAJJI
sabili, 17 July 2009
Labels:
Fiqh Ibadah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

Comments :
Post a Comment