AKHLAQ ISLAM

Akhlaq Islam dan kewajipan berakhlaq dengan akhlaq Islam adalah perkara yang sangat penting diketahui oleh seorang muslim.

Akhlaq ialah muamalah (interaksi) individu-individu, sedangkan Islam adalah agama muamalah.

Islam yang hanif (lurus) ini bukan hanya sekedar tata cara ibadat ritual atau sekedar teori pemikiran. Tetapi Islam adalah din yang amali dan tanfizi (praktikal dan pelaksanaan).

Ibnu Mas’ud r.a. ada mengatakan: “Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk diamalkan bukan sekedar untuk dibaca-baca.”

Kehidupan moden sekarang banyak membuat manusia lupa kepada akhlaq Islam, seperti Itsar (mendahulukan orang lain), afwu (memaafkan orang) tasamuh (mudah), sabr (sabar) dan lain-lain. Bahkan sifat-sifat mahmudah (terpuji) yang merupakan sendi akhlaq Islam ini telah banyak tersadai dan terasing dari kehidupan kebanyakan masyarakat Islam, dengan kata lain, orang Islam berada di satu lembah dan akhlaq Islam berada di lembah yang lain, padahal mereka masih mengerjakan solat, puasa, hajji dan ibadat yang lain. Lebih aneh dan ajaib, ada seorang bergelar alim dalam ilmu islam, berzikir siang dan malam dengan jumlah yang sangat banyak,tapi sikap menabur fitnah, dengki dan yang sewaktu dengannya masih menjadi amalan biasa baginya. Mereka masih tidak mampu menonjolkan roh (spirit) Islam yang terkandung di dalam akhlaq Islam itu.

Hal ini terjadi disebabkan mereka tidak memahami Islam itu secara syumul (menyeluruh), mereka memahaminya dari sudut pandang yang sempit. Mereka beranggapan bahawa Islam itu hanya terbatas di masjid, solat, zikir, nikah kahwin, acara berkhatan dan yang seumpama dengannya. Tanpa menghubungkan Islam itu dengan persoalan makan, minum, berpakaian, bekerja, berjual beli, berjiran, bermasyarakat,muamalah dan lain-lain sebagainya. Pada hal jika kita telaah Al-Quran kita dapati ayat yang terpanjang sehingga satu muka surat adalah ayat muamalah iaitu Surah Al-Baqarah: 282.

Bahkan Rasul Sallallah Alaihi Wa Sallam diutus "Hanya untuk menyempurnakan akhlaq mulia" (Majma' Al-Zawaid:9/18)

Umar r.a ada mengatakan: “Jangan hukum seseorang itu kerana pandai membaca Al-Quran, tetapi lihatlah orang itu kerana pandai mengamalkannya”

Kita selalu melihat ramai orang tidak mampu menterjemahkan sabda-sabda Rasul Sallallah Alaihi Wa Sallam dalam kehidupannya, seperti sabdanya Sallallahu Alaihi Wa Sallam: “Sambunglah (silatur rahim) orang yang memutuskannya”, “Berilah orang yang tidak mau memberimu”, “Maafkanlah orang yang menzalimimu” "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan jirannya", "Kebersihan sebahagian daripada iman", dan yang seumpamanya.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa sifat-sifat tersebut sebagai lambang kelemahan. Pada hal sejarah telah membuktikan bahawa sifat-sifat tadi malah membuat seseorang menjadi izzah (berwibawa).

Allah berfirman:
“Dia (Yusuf) berkata: “Pada hari ini tidak ada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu) dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.” (Q.S.Al-Ahqaf:35)

“Jadilah engkau pemaaf dan serulah orang-orang mengerjakan ma’ruf serta berpalinglah dari orang yang bodoh” (Q.S.Al-A’raf:199)

APA ITU AKHLAQ?

Akhlaq ialah “Himpunan suluk (tingkah laku) yang dijadikan asas pergaulan individu atau masyarakat”. Sedangkan akhlaq dalam Islam ialah “Himpunan aturan dan prinsip-prinsip yang mengatur suluk insani yang ditentukan oleh wahyu untuk mengatur kehidupan manusia dengan aturan yang baik untuk mencapai tujuan keberadaannya di dunia ini secara sempurna” (DR.Miqdad Yaljen, Jawanib Al-Tarbiyah Al-Islamiyah Al-Asasiyah:287)

Jadi akhlaq Islam adalah “Himpunan perilaku dan suluk terpuji yang terbit dari individu Muslim dengan tujuan memperoleh ridha Allah SWT”.

Kerana itu akhlaq dapat membentuk perilaku seseorang dan masyarakat. Akhlaq Islam sepenuhnya bersumber dari Allah SWT Yang Maha Mengetahui segala yang baik bagi manusia. Sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam merupakan perwujudan dari seluruh akhlaq. Kerana itu Baginda Sallallahu Alaihi Wa Sallam Adalah satu-satunya uswah (idola) yang mesti diteladani oleh manusia. Setiap manusia Muslim wajib menjadikan akhlaq Islam sebagai suluk.

ISLAM MANHAJ HAYAT DAN SULUK

Islam bukan agama kahanut yang menyeru manusia mengasingkan diri dan melakukan ruhbaniyah serta tenggelam di alam keghaiban, jauh dari kenyataan hidup serta berpaling dari persoalan kemasyarakatan dan kenyataan yang dihadapi. Islam bukanlah ajaran yang menjadikan manusia berbeza darjat dan berkasta-kasta disebabkan keturunan. Sehingga, seseorang menjadi terhormat dan yang seorang lagi menjadi hina hanya kerana keturunannya.

Islam adalah din, manhaj kehidupan, pola berfikir, gaya perilaku dan uslub kehidupan yang berasaskan keyakinan yang khas dan konsef yang jelas bagi kehidupan.

Islam sebagai manhaj hayat berbeza dengan agama lain, keseluruhan atau bahagian-bahagiannya; berbeza dengan falsafah hidup lain dari sisi teori umum tentang tabiat kemanusiaan dan apa yang sepatutnya dilakukan terhadap kehidupan manusia yang sesuai dengan fitrah, tujuan diciptakan serta sesuai dengan kehidupan akhirat yang akan ditempuhnya.

Islam berbeza dengan seluruh manhaj hayat dan suluk lain. Kerana Islam telah menentukan semua tuntutan dan keperluan asas manusia dan membahagikannya secara seimbang dan adil. Semua keperluan rohani, aqli dan jasmani dipenuhi dengan seimbang dan adil, sehingga manusia yang dididik dalam suasana keislaman akan menjadi hamba Allah murni.

Kerana itu sesiapa yang mengatur hidupnya dengan manhaj Islam, akan hidup bahagia, berbeza dengan sesiapa yang mengatur hidupnya dengan manhaj hidup lain, dia akan sengsara di dunia dan akhirat.
Allah SWT berfirman:

“Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi menjadi musuh sebahagian yang lain, maka jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, lalu sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, dia tidak akan celaka” (Q.S.Thaha:123)

KEPENTINGAN AKHLAQ DALAM KEHIDUPAN

Manusia adalah makhluq bermasyarakat (zon politicon) yang tidak dapat hidup bersendirian. Kerana itu manusia sangat memerlukan komunikasi dan hubungan kerja sama dalam kehidupannya bersama orang lain. Hal ini menghendaki adanya nilai-nilai untuk mengatur tingkah laku individu dan perwujudan akhlaq terpuji itu di dalam diri masing-masing pribadi yang diterima sepenuhnya dan diredhai bersama.

Allah berfirman:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Q.S.Al-Hujurat:13)

Allah sebagai Pencipta manusia sangat mengetahui keadaan dan segala sesuatu yang diperlukan manusia, serta apa-apa yang baik bagi kehidupan dan kemuliaannya. Hal ini sejalan dengan ketetapan Allah SWT dalam memuliakan Bani Adam. Kerana itu Dia menurunkan kitab-kitab-Nya, yang di antara kandungannya ialah ajaran mengenai akhlaq mulia yang sangat diperlukan oleh manusia, baik bagi kepentingan individu ataupun bagi masyarakat.

Di antara Kitab-kitab Allah tersebut, diturunkan pula kepada Nabi Muhammad Sallallah Alaihi Wa Sallam. Baginda Sallallah Alaihi Wa Sallam sebagai Rasul terakhir memiliki akhlaq yang agung.
Firman Allah SWT:

“Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang agung”
(Q.S.Al-Qalam:4)

Comments :

1
emir.abu.khalil said...
on 

jzkk atas perkongsian ya ustaz, mencerahkan. memang hakikatnya kita hari ini banyak terpisah dari akhlak Islamiyyah, hanya terperuk dengan akhlak asasiyyah insaniyyah. masyarakat sudah jelak barangkali kerana kita tiada beza dari orang-orang kafir, mengatakan Islam itu indah dan sebagainya, tapi hanya manis pada bibir bukan pada pekerti dan akhlak.

Post a Comment