BERIKAN HAKNYA, WALAUPUN…

Bila anda berhadapan dengan orang yang berlainan pendapat dengan anda, dengar dan hormatilah dia, sekalipun anda tidak berpuas hati dengan pandangannya, walaupun perbezaan pendapat itu sejauh timur dan barat, bahkan walaupun perbezaan itu dalam hal aqidah.

Demikianlah sikap Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) yang mesti kita teladani.

Ibn Hisham meriwayatkan dari Ibn Ishaq bahawa ‘Utbah ibn Rabi’ah (salah seorang pemimpin Quraisy yang memiliki pengaruh besar di kalangan kaumnya) pernah berkata:

“Wahai kaum Quraisy, aku akan pergi menghadap Muhammad untuk mengemukakan beberapa perkara, semoga beliau dapat menerima sebahagiannya dan kita akan berikan yang mana satu dia mahu sehingga dia berhenti daripada menghentam kita”, Orang Quraisy spontan menjawab: “Tentu Ya Aba Al-Walid (panggilan bagi ‘Utbah), pergilah dan cakaplah kepadanya”.
‘Utbahpun bergegas menemui Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) lalu dia duduk dekat dengan Baginda kemudian berkata: “Wahai anak saudara ku, kedudukan, kemuliaan dan keturunanmu di sisi kami adalah sebagaimana yang engkau maklum, tapi engkau telah membawa suatu perkara besar kepada kaum engkau, engkau telah porak porandakan kesatuan mereka dan engkau telah rendahkan pemimpin mereka, sekarang dengarlah, aku akan kemukakan beberapa perkara semoga engkau boleh menerima sebahagiannya”.
Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) menjawab : “Ya saya akan mendengarnya”.

‘Utbah melanjutkan hasratnya sambil mengatakan “Wahai anak saudaraku, jika perkara yang engkau bawa selama ini bertujuan hendak mengumpul harta, kami akan kumpulkan harta-harta kami untuk engkau sehingga engkau menjadi orang yang paling kaya di kalangan kami, atau jika kemuliaan yang engkau cari, kami akan lantik engkau jadi pemimpin kami di mana kami tidak akan putuskan sesuatu perkara tanpa kehadiranmu, atau jika engkau nak jadi raja, kami lantik engkau jadi raja kami, atau perkara yang engkau bawa ini mendatangkan sejenis penyakit jiwa yang tak mampu engkau membuangnya dari dirimu, kami akan cari bomoh dan kami akan tanggung semua pembiayaannya dengan uang kami sehingga engkau sembuh".
Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) berkata : “Sudah selesai wahai Aba Al-Walid?”. “Ya” jawab ‘Utbah.

“Sekarang dengar pula dari aku” sambung Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam), Bagindapun membaca :

"حم ، تنزيل من الرحمن الرحيم، كتاب فصلت آياته قرآنا عربياً لقوم يعلمون، بشيراً ونذيراً فأعرض أكثرهم فهم لا يسمعون، وقالوا قلوبنا في أكنة مما تدعونا إليه وفي آذاننا وقر ومن بيننا وبينك حجاب فاعمل إننا عاملون. قل إنما أنا بشر مثلكم يوحى إلي أنما إلهكم إله واحد فاستقيموا إليه واستغفروه ، وويل للمشركين".

Maksudnya :
1. Haa Miim.
2. Diturunkan dari Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
3. Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk
kaum yang mengetahui,
4. Yang membawa berita gembira dan yang membawa peringatan, tetapi kebanyakan
mereka berpaling, tidak mau mendengarkan.
5. Mereka berkata: "Hati kami berada dalam tutupan (yang menutupi) apa yang kamu
seru kami kepadanya dan telinga kami ada sumbatan dan antara kami dan kamu ada
dinding, Maka Bekerjalah kamu; Sesungguhnya kami bekerja (pula)."
6. Katakanlah: "Bahwasanya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan
kepadaku bahwasanya Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa, Maka tetaplah pada
jalan yang lurus menuju kepadanya dan mohonlah ampun kepadanya. dan Kecelakaan
besarlah bagi orang- orang yang mempersekutukan-Nya. (Q.S.Fussilat:1-6)

Kemudian Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) terus membaca ayat tersebut dalam keadaan ‘Utbah tekun mendengarnya, sehinggalah sampai kepada ayat:

"فإن أعرضوا فقل أنذرتكم صاعقة مثل صاعقة عاد وثمود".

Maksudnya:
13. Jika mereka berpaling Maka Katakanlah: "Aku Telah memperingatkan kamu dengan
petir,seperti petir yang menimpa kaum 'Aad dan Tsamud". (Q.S.Fussilat:13)

‘Utbahpun cuba menutup mulut Baginda seraya menahannya dari terus membaca kerana takut mendengar kandungan ayat tersebut yang berisi ancaman.

Kemudian ‘Utbah pulang kepada kuncu-kuncunya, setelah duduk, mereka bertanya apa gerangan berita yang dia bawa. Beliau cuba menjelaskan dengan bersumpah atas nama Allah bahawa dia telah mendengar ungkapan-ungkapan yang sama sekali belum pernah didengarnya, bukan syair, bukan sihir dan bukan pula mentera. Lalu dia menyeru: “ Wahai semua bangsa Quraisy, patuhlah padaku, biarkan lelaki itu dengan keadaanya dan tinggalkan dia, demi Allah, sesungguhnya aku telah mendengar daripadanya berita agung, seandainya bangsa Arab mendapatinya mereka akan merasakan suatu kesempurnaan tanpa orang lain, jika dia muncul di kalangan bangsa arab maka kekuasaanya adalah kekuasaan kamu dan kaemuliaannya adalah kemuliaan kamu”.

Mereka menempelak ‘Utbah dan berkata: “Demi Allah, engkau telah terkena sihir melalui ucapannya wahai Aba Al-Walid”

“Ini pandanganku, terpulang apa yang mahu kamu lakukan” jawab ‘Utbah.

Nah, mari kita menelaah sejenak.
Sikap sebegini adalah sikap toleran yang amat tinggi dan terhormat, sepatutnya ia tidak berlalu begitu sahaja tanpa memberi sebarang kesan iktibar dan nasihat kepada kita, lebih-lebih lagi pelakunya adalah Rasulullah (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) yang wajib kita ittiba’ dan teladani berdasarkan firman Allah :

" لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الآخر وذكر الله كثيرا"

Maksudnya:
21. Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik
bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan
(kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.(Q.S. Al-Ahzab:21)

Noktah terpenting dalam kisah ini yang mesti dijadikan tauladan ialah bahawa perbezaan pendapat dengan pihak lain bukanlah merupakan tiket bebas bagi kita untuk menceroboh hak-hak peribadinya dengan mendedahkan segala kekurangan dan kelemahannya atau menafikan sama sekali segala kebaikan yang ada padanya.

Mari kita semak besama.

Pertama:
‘Utbah memang seorang kafir, tetapi kekufurannya tersebut tidak menghalangnya untuk diiktiraf sebagai orang yang begitu hebat, sehingga periwayat kisah di atas masih meriwayatkan bahawa ‘Utbah sebagai seorang pemimpin dan mempunyai pandangan yang bernas di kalangan kaumnya. [ وكان سيداً ذا بصيرة ورأي في قومه]

Kedua:
Sekalipun ia datang dari mulut ‘Utbah, tapi perlu kita fikirkan, iaitu mukaddimah perbincangan dia mulakan dengan titik persamaan yang boleh memberi kesan mendalam, dia tidak menerjah dengan mengemukakan point-point perselisihan, ingat apa kata ‘Utbah kepada Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) sebaik sahaja dia duduk dekat dengan Baginda: “Wahai anak saudaraku”, kemudian dia susul dengan “kedudukan, kemuliaan dan keturunanmu di sisi kami adalah sebagaimana yang engkau maklum”.

Ketiga:
Tiada ancaman atau paksaan dalam perbualan, tetapi kes diungkapkan dengan keterbukaan dan kebebasan pemikiran, kata ‘Utbah: “dengarlah dariku, aku akan mengemukakan beberapa perkara untuk engkau teliti dan menerima sebahagiannya”.

Demikian juga ketika giliran Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) pula menjawab dengan penuh adab dan sopan: “Ya saya akan mendengarnya wahai Aba Al-Walid”.

Baginda menghulurkan prinsip komunikasi yang disulami dengan kelemah lembutan dan kemaafan. Pada hal Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) boleh-boleh saja tidak berbuat demikian dengan menutup jalan dari awal-awal lagi, kerana apa yang dibawa oleh Baginda tidak mengenal menyerah, hanya ada satu pilihan, samada beriman bagi yang mahu beriman atau kufur bagi yang mahu kufur tanpa ada pilihan di antara keduanya.

Walaupun demikian, Baginda masih menampilkan prinsip komunikasi yang baik dan jitu sebagaiman kita lihat.
Bahkan lebih daripada itu, Baginda tetap memberi peluang bagi ‘Utbah untuk mengemukakan sudut pandangnya tanpa memotong percakapannya sekalipun, sedangkan perbezaan itu sangat mendasar, iaitu tuduhan-tuduhan dan cercaan-cercaan liar.

Oh, sungguh tauladan dan budi pekerti yang tinggi.
Bagaimana dan dimana kedudukan kita dalam hal ini??

Kebanyakan – kalaupun tidak keseluruhan – kita sangat kedekut dan susah untuk sudi memaafkan dan memberi ruang yang secukupnya bagi pihak lawan untuk mengemukakan sudut pandangnya yang kita ragukan, sebaliknya kita akan menutup peluangnya berbicara, bahkan kalau boleh kita berusaha menolak secupaknya dengan sepuluh cupak kita.

Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) dalam kes ini diam dari beribu bahasa sehinggalah lawannya selesai mengemukakan pandangannya, kemudian dengan sopannya Baginda memulakan bicara dengan bertanya “Sudah selesai wahai Aba Al-Walid?”.

Lihat, Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) memanggil Abu Al-Walid dengan gelaran kegemarannya untuk mempamerkan rasa persahabatan. Di situ ada suri tauladan, bukan?.

Begitu ‘Utbah menjawab “Ya”, Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) terus berkata lagi: “Sekarang, dengarlah dariku”.

Ketenangan, kepercayaan, penghormatan, keterbukaan dan katakanlah apa sahaja, semua itu adalah perkara-perkara yang mesti kita miliki bila berbual bicara dengan orang lain kalau kita jujur mahu mengikuti jejak Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam), bukan dengan memberi gelaran tertentu yang tidak berasas yang dibumbui dengan kata-kata kesat dan kasar sedang lawan bicara kita tidaklah seteruk Firaun dan kitapun tidak sehebat Nabi Musa yang sentiasa diperintah Allah agar berucap dengan perkataan yang lemah lembut, sesuai dengan firmanNya dalam Surah Taha 44:

فقولا له قولا لينا لعله يتذكر أويخشى

Maksudnya :
44. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut,
Mudah-mudahan ia ingat atau takut".

Perkara penting lain ialah cara Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) memberikan hujjahnya kepada kawan bicara, iaitu dengan berdalilkan Al-Quran sebagai hujjah yang mantap, kuat dan bersesuaian dengan keadaan.

‘Utbah seorang lelaki yang bijak dan berpandangan jauh, begitu juga orang yang seumpama dengannya sangat mudah menerima pandangan yang dilandasi dengan logika dan kebenaran yang ikhlas dan tulus, sebab mereka bukannya tak mengerti cara dan gaya interaksi kita.

Jadi hujjah kita mestilah kuat dan tiada yang lebih kuat dan mantap selain daripada Al-Quran.

Sebenarnya, kisah ini banyak memberi kita pelajaran dan pedoman lebih dari apa yang dipaparkan.

Ambillah iktibar wahai orang bijaksana…………
Saya hanya bijaksini.

Comments :

0 comments to “BERIKAN HAKNYA, WALAUPUN…”

Post a Comment