Bila anda berhadapan dengan orang yang berlainan pendapat dengan anda, dengar dan hormatilah dia, sekalipun anda tidak berpuas hati dengan pandangannya, walaupun perbezaan pendapat itu sejauh timur dan barat, bahkan walaupun perbezaan itu dalam hal aqidah.
Demikianlah sikap Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) yang mesti kita teladani.
Ibn Hisham meriwayatkan dari Ibn Ishaq bahawa ‘Utbah ibn Rabi’ah (salah seorang pemimpin Quraisy yang memiliki pengaruh besar di kalangan kaumnya) pernah berkata:
“Wahai kaum Quraisy, aku akan pergi menghadap Muhammad untuk mengemukakan beberapa perkara, semoga beliau dapat menerima sebahagiannya dan kita akan berikan yang mana satu dia mahu sehingga dia berhenti daripada menghentam kita”, Orang Quraisy spontan menjawab: “Tentu Ya Aba Al-Walid (panggilan bagi ‘Utbah), pergilah dan cakaplah kepadanya”.
‘Utbahpun bergegas menemui Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) lalu dia duduk dekat dengan Baginda kemudian berkata: “Wahai anak saudara ku, kedudukan, kemuliaan dan keturunanmu di sisi kami adalah sebagaimana yang engkau maklum, tapi engkau telah membawa suatu perkara besar kepada kaum engkau, engkau telah porak porandakan kesatuan mereka dan engkau telah rendahkan pemimpin mereka, sekarang dengarlah, aku akan kemukakan beberapa perkara semoga engkau boleh menerima sebahagiannya”.
Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) menjawab : “Ya saya akan mendengarnya”.
‘Utbah melanjutkan hasratnya sambil mengatakan “Wahai anak saudaraku, jika perkara yang engkau bawa selama ini bertujuan hendak mengumpul harta, kami akan kumpulkan harta-harta kami untuk engkau sehingga engkau menjadi orang yang paling kaya di kalangan kami, atau jika kemuliaan yang engkau cari, kami akan lantik engkau jadi pemimpin kami di mana kami tidak akan putuskan sesuatu perkara tanpa kehadiranmu, atau jika engkau nak jadi raja, kami lantik engkau jadi raja kami, atau perkara yang engkau bawa ini mendatangkan sejenis penyakit jiwa yang tak mampu engkau membuangnya dari dirimu, kami akan cari bomoh dan kami akan tanggung semua pembiayaannya dengan uang kami sehingga engkau sembuh".
Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) berkata : “Sudah selesai wahai Aba Al-Walid?”. “Ya” jawab ‘Utbah.
“Sekarang dengar pula dari aku” sambung Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam), Bagindapun membaca :
"حم ، تنزيل من الرحمن الرحيم، كتاب فصلت آياته قرآنا عربياً لقوم يعلمون، بشيراً ونذيراً فأعرض أكثرهم فهم لا يسمعون، وقالوا قلوبنا في أكنة مما تدعونا إليه وفي آذاننا وقر ومن بيننا وبينك حجاب فاعمل إننا عاملون. قل إنما أنا بشر مثلكم يوحى إلي أنما إلهكم إله واحد فاستقيموا إليه واستغفروه ، وويل للمشركين".
Maksudnya :
1. Haa Miim.
2. Diturunkan dari Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
3. Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan dalam bahasa Arab, untuk
kaum yang mengetahui,
4. Yang membawa berita gembira dan yang membawa peringatan, tetapi kebanyakan
mereka berpaling, tidak mau mendengarkan.
5. Mereka berkata: "Hati kami berada dalam tutupan (yang menutupi) apa yang kamu
seru kami kepadanya dan telinga kami ada sumbatan dan antara kami dan kamu ada
dinding, Maka Bekerjalah kamu; Sesungguhnya kami bekerja (pula)."
6. Katakanlah: "Bahwasanya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan
kepadaku bahwasanya Tuhan kamu adalah Tuhan yang Maha Esa, Maka tetaplah pada
jalan yang lurus menuju kepadanya dan mohonlah ampun kepadanya. dan Kecelakaan
besarlah bagi orang- orang yang mempersekutukan-Nya. (Q.S.Fussilat:1-6)
Kemudian Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) terus membaca ayat tersebut dalam keadaan ‘Utbah tekun mendengarnya, sehinggalah sampai kepada ayat:
"فإن أعرضوا فقل أنذرتكم صاعقة مثل صاعقة عاد وثمود".
Maksudnya:
13. Jika mereka berpaling Maka Katakanlah: "Aku Telah memperingatkan kamu dengan
petir,seperti petir yang menimpa kaum 'Aad dan Tsamud". (Q.S.Fussilat:13)
‘Utbahpun cuba menutup mulut Baginda seraya menahannya dari terus membaca kerana takut mendengar kandungan ayat tersebut yang berisi ancaman.
Kemudian ‘Utbah pulang kepada kuncu-kuncunya, setelah duduk, mereka bertanya apa gerangan berita yang dia bawa. Beliau cuba menjelaskan dengan bersumpah atas nama Allah bahawa dia telah mendengar ungkapan-ungkapan yang sama sekali belum pernah didengarnya, bukan syair, bukan sihir dan bukan pula mentera. Lalu dia menyeru: “ Wahai semua bangsa Quraisy, patuhlah padaku, biarkan lelaki itu dengan keadaanya dan tinggalkan dia, demi Allah, sesungguhnya aku telah mendengar daripadanya berita agung, seandainya bangsa Arab mendapatinya mereka akan merasakan suatu kesempurnaan tanpa orang lain, jika dia muncul di kalangan bangsa arab maka kekuasaanya adalah kekuasaan kamu dan kaemuliaannya adalah kemuliaan kamu”.
Mereka menempelak ‘Utbah dan berkata: “Demi Allah, engkau telah terkena sihir melalui ucapannya wahai Aba Al-Walid”
“Ini pandanganku, terpulang apa yang mahu kamu lakukan” jawab ‘Utbah.
Nah, mari kita menelaah sejenak.
Sikap sebegini adalah sikap toleran yang amat tinggi dan terhormat, sepatutnya ia tidak berlalu begitu sahaja tanpa memberi sebarang kesan iktibar dan nasihat kepada kita, lebih-lebih lagi pelakunya adalah Rasulullah (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) yang wajib kita ittiba’ dan teladani berdasarkan firman Allah :
" لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الآخر وذكر الله كثيرا"
Maksudnya:
21. Sesungguhnya Telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik
bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan
(kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.(Q.S. Al-Ahzab:21)
Noktah terpenting dalam kisah ini yang mesti dijadikan tauladan ialah bahawa perbezaan pendapat dengan pihak lain bukanlah merupakan tiket bebas bagi kita untuk menceroboh hak-hak peribadinya dengan mendedahkan segala kekurangan dan kelemahannya atau menafikan sama sekali segala kebaikan yang ada padanya.
Mari kita semak besama.
Pertama:
‘Utbah memang seorang kafir, tetapi kekufurannya tersebut tidak menghalangnya untuk diiktiraf sebagai orang yang begitu hebat, sehingga periwayat kisah di atas masih meriwayatkan bahawa ‘Utbah sebagai seorang pemimpin dan mempunyai pandangan yang bernas di kalangan kaumnya. [ وكان سيداً ذا بصيرة ورأي في قومه]
Kedua:
Sekalipun ia datang dari mulut ‘Utbah, tapi perlu kita fikirkan, iaitu mukaddimah perbincangan dia mulakan dengan titik persamaan yang boleh memberi kesan mendalam, dia tidak menerjah dengan mengemukakan point-point perselisihan, ingat apa kata ‘Utbah kepada Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) sebaik sahaja dia duduk dekat dengan Baginda: “Wahai anak saudaraku”, kemudian dia susul dengan “kedudukan, kemuliaan dan keturunanmu di sisi kami adalah sebagaimana yang engkau maklum”.
Ketiga:
Tiada ancaman atau paksaan dalam perbualan, tetapi kes diungkapkan dengan keterbukaan dan kebebasan pemikiran, kata ‘Utbah: “dengarlah dariku, aku akan mengemukakan beberapa perkara untuk engkau teliti dan menerima sebahagiannya”.
Demikian juga ketika giliran Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) pula menjawab dengan penuh adab dan sopan: “Ya saya akan mendengarnya wahai Aba Al-Walid”.
Baginda menghulurkan prinsip komunikasi yang disulami dengan kelemah lembutan dan kemaafan. Pada hal Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) boleh-boleh saja tidak berbuat demikian dengan menutup jalan dari awal-awal lagi, kerana apa yang dibawa oleh Baginda tidak mengenal menyerah, hanya ada satu pilihan, samada beriman bagi yang mahu beriman atau kufur bagi yang mahu kufur tanpa ada pilihan di antara keduanya.
Walaupun demikian, Baginda masih menampilkan prinsip komunikasi yang baik dan jitu sebagaiman kita lihat.
Bahkan lebih daripada itu, Baginda tetap memberi peluang bagi ‘Utbah untuk mengemukakan sudut pandangnya tanpa memotong percakapannya sekalipun, sedangkan perbezaan itu sangat mendasar, iaitu tuduhan-tuduhan dan cercaan-cercaan liar.
Oh, sungguh tauladan dan budi pekerti yang tinggi.
Bagaimana dan dimana kedudukan kita dalam hal ini??
Kebanyakan – kalaupun tidak keseluruhan – kita sangat kedekut dan susah untuk sudi memaafkan dan memberi ruang yang secukupnya bagi pihak lawan untuk mengemukakan sudut pandangnya yang kita ragukan, sebaliknya kita akan menutup peluangnya berbicara, bahkan kalau boleh kita berusaha menolak secupaknya dengan sepuluh cupak kita.
Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) dalam kes ini diam dari beribu bahasa sehinggalah lawannya selesai mengemukakan pandangannya, kemudian dengan sopannya Baginda memulakan bicara dengan bertanya “Sudah selesai wahai Aba Al-Walid?”.
Lihat, Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) memanggil Abu Al-Walid dengan gelaran kegemarannya untuk mempamerkan rasa persahabatan. Di situ ada suri tauladan, bukan?.
Begitu ‘Utbah menjawab “Ya”, Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) terus berkata lagi: “Sekarang, dengarlah dariku”.
Ketenangan, kepercayaan, penghormatan, keterbukaan dan katakanlah apa sahaja, semua itu adalah perkara-perkara yang mesti kita miliki bila berbual bicara dengan orang lain kalau kita jujur mahu mengikuti jejak Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam), bukan dengan memberi gelaran tertentu yang tidak berasas yang dibumbui dengan kata-kata kesat dan kasar sedang lawan bicara kita tidaklah seteruk Firaun dan kitapun tidak sehebat Nabi Musa yang sentiasa diperintah Allah agar berucap dengan perkataan yang lemah lembut, sesuai dengan firmanNya dalam Surah Taha 44:
فقولا له قولا لينا لعله يتذكر أويخشى
Maksudnya :
44. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut,
Mudah-mudahan ia ingat atau takut".
Perkara penting lain ialah cara Rasul (Sallallahu ‘Alihi Wa Sallam) memberikan hujjahnya kepada kawan bicara, iaitu dengan berdalilkan Al-Quran sebagai hujjah yang mantap, kuat dan bersesuaian dengan keadaan.
‘Utbah seorang lelaki yang bijak dan berpandangan jauh, begitu juga orang yang seumpama dengannya sangat mudah menerima pandangan yang dilandasi dengan logika dan kebenaran yang ikhlas dan tulus, sebab mereka bukannya tak mengerti cara dan gaya interaksi kita.
Jadi hujjah kita mestilah kuat dan tiada yang lebih kuat dan mantap selain daripada Al-Quran.
Sebenarnya, kisah ini banyak memberi kita pelajaran dan pedoman lebih dari apa yang dipaparkan.
Ambillah iktibar wahai orang bijaksana…………
Saya hanya bijaksini.
BERIKAN HAKNYA, WALAUPUN…
sabili, 26 June 2009Mahukah Anda Jadi Orang Yang Pertama ?
sabili, 08 June 2009Sayang ....
ZUL JAUSHAN AL-DHABBABIY
Bukan Orang Yang PERTAMA.
Ada seorang sahabat Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) yang bernama Zul Jaushan Al-Dhabbabiy, namanya agak pelik sedikit (selepas ini kita sebut sahaja Zul, untuk ringkas). Oleh yang demikian kisah sahabat ini adalah suatu kisah yang menyentuh kita semua, kisahnya sangat sederhana…
Selepas berakhirnya perang Badar, Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) menemuinya, (pada masa itu orang-orang Islam telah menang, walaupun belum begitu pasti, sebab orang-orang Quraisy masih kuat dan masih ada lagi peperangan yang berlaku antara orang-orang Islam dengan mereka, bahkan Zul masih belum memeluk Islam ketika itu). Lalu Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) mengatakan sesuatu kepadanya.
Mari kita lihat apa yang dikatakan Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) kepadanya, sebenarnya Rasul(Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam)mahu mengemukakan Islam. Bayangkan, jika di antara kita ada yang hendak mengemukakan Islam kepada seseorang, tentu soalan yang biasa pada keadaan seperti ini ialah : “Mahukah anda menjadi orang Islam?”...
Namun Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) tidak menanyakan hal seperti itu, Baginda (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) hanya mengatakan kepada Zul “ Mahukah anda mejadi salah seoarang di kalangan orang-orang yang PERTAMA ?
Mari kita berhenti sejenak di sini... dan kita perhatikan kalimat “PERTAMA” yanng mempunyai empat atau lima perkara penting.
Mengapa Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) menggunakan perkataan PERTAMA dan tidak mengatakan “Mahukah anda menjadi orang Islam?”
Sebab, diri manusia ini sentiasa mahukan agar dia menjadi orang yang pertama. Agaknya itulah punca kebanyakan pemuda-pemudi tidak akan membeli sesuatu pakaian tertentu jika orang lain sudah banyak memakainya, begitu juga kebanyakan mereka tidak mahu menggunakan jenis minyak wangi tertentu disebabkan hal yang sama.
Mengapa semua ini terjadi??....
Kerana semua manusia berkeinginan untuk menjadi orang pertama, dia mahu berbeza daripada orang lain, oleh sebab itu Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) mengetuk dalaman Zul dengan cara ini.
Ini perkara penting, bukan cerita kosong, hal ini suatu yang perah dikatakan lebih dari 14 abad yang lalu...
Mahukah anda menjadi salah seorang di antara orang-orang yang pertama?
Orang pertama dalam hal apa?
Cuba anda solat subuh di suatu kampung yang besar yang tak seorang pun sembahyang subuh di situ...
Cuba anda menjadi orang yang pertama mempelajari al-Quran dengan cara yang betul,
sementara orang di sekeliling anda asyik mempelajari bahasa Inggeris, matematic ataupun sains, namun jika mereka disuruh membaca Al-Quran, mereka tidak dapat membacanya dengan cara yang betul, bahkan lebih menyayat hati ada yang sudah berani menghina Al-Quran sedemikian rupa, 
Tak terpanggilkah anda untuk menjadi orang yang pertama memuliakan Al-Quran???
Ya Allah, berikanlah kami kekuatan iman supaya kami menjadi sebahagian dari orang yang pertama membela dan memuliakan Kitab SuciMu. Aamiin.
Mahukah anda menjadi orang yang pertama bangun sebelum fajar untuk mendirikan solat walhal orang-orang di sekeliling anda sedang nyenyak tidur dan anda sanggup mengatakan kepada Allah Azza Wa Jalla “Aku bangun untuk menegakkan solat di hadapan Mu ya Allah sementara orang lain masih tertidur lena. 
Sukakah anda dikategorikan dalam senarai orang-orang yang dapat membaca al-Quran di suatu negeri yang sangat sedikit orang yang pandai membaca al-Quran dengan baik.
Sukakah anda disenaraikan di kalangan orang-orang yang dapat berbakti atau mencium tangan ayah dan ibu yang jika kedua mereka ditanya samada mereka reda terhadap anak-anak mereka atau tidak (mereka akan menjawab: “Kami reda ya Tuhan”) pada hal teman di sekeliling anda banyak yang derhaka terhadap ibubapa mereka yang mungkin dibalas Allah dengan azab di dunia ini??(seperti gambar di sebelah kanan ini)

Jika anda sanggup melakukannya pada masa ini, anda termasuk di kalangan orang yang pertama.
Nabi Muhammad (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) mengatakan ayat ini untuk menyentuh hati Zul dan juga menyentuh hati kita bersama.
Tidak mahukah anda menjadi orang yang pertama ??? Atau anda tidak menginginkannya sama sekali???
Sebelum kita lanjutkan apa yang terjadi, untuk kali yang kedua... marilah berfikir sejenak... “adakah anda mahu menjadi orang yang pertama?”
Apa yang terjadi seterusnya? Zul tidak mengambil berat pertanyaan Baginda SAW tersebut. Bahkan ketika Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) bertanya kepadanya: “Wahai Zul Jaushan mahukah engkau menjadi orang yang pertama ?” Zul menjawab: “Tidak, aku lihat dahulu, jika engkau menang, aku akan ikut, tetapi jika engkau kalah, aku tidak akan mendapat apa-apa musibah”. Seolah-olah dia mahu memegang tongkat pada pertengahannya.
Oh, sungguh malang…
Demikianlah kebanyakan generasi muda sekarang, ada yang mengatakan: “Aku ikut teman-temanku, jika mereka melakukan kebaikan, akupun melakukan kebaikan juga, dan jika mereka melakukan kejahatan, akupun sama juga, aku tidak memiliki sakhsiah (keperibadian) yang kukuh, aku tidak ada pendirian, jika mereka melakukan maksiat akupun melakukannya, dan kalau mereka pergi belajar agama akupun ikut sama”.
Mana sakhsiah anda?... anda tidak mempunyai sakhsiah kalau begitu.
Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) pernah bersabda kepada orang yang seperti ini: “Janganlah kamu menjadi orang yang ikut-ikutan tanpa sakhsiah dan terombang ambing, yang selalu mengatakan “Jika orang lain berbuat baik akupun berbuat baik, dan jika mereka melakukan kejahatan akupun melakukan kejahatan, tapi waththinu anfusakum, jika orang berbuat baik, berbuat baiklah kamu, jika mereka melakukan kejahatan, janganlah kamu melakukan kezaliman” (H.R.Al-Tirmizi)
Perhatikan kalimat “waththinu anfusakum” maksudnya: peganglah agamamu dengan tanganmu dan gigimu. Dan kalimat waththinu berasal dari “wathan” iaitu “tanah air”, maksudnya hubungan seseorang dengan tanah airnya sangat kuat, oleh sebab itu jadikanlah hubunganmu dengan agamamu sama seperti hubunganmu dengan tanah airmu.
Kita teruskan cerita Zul yang tidak mengindahkan sabda Rasul (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) dan tetap dalam kekufuran serta menolak Islam...
Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) melihat Zul
Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun telah berlalu…. mari kita lihat… sudahkah wanita-wanita menutup aurat mereka? sudahkah kaum lelaki mengerjakan solat? atau mereka masih kekal dalam keadaan yang sama seperti dahulu dan masih tidak mahu menjadi orang yang pertama di sisi Allah?...
Kita teruskan…
Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun telah berlalu, akhirnya Islam menang, kota Makkah dapat ditakluki, Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) memasuki Makkah bersama dengan sepuluh ribu sahabat-sahabatnya, dan orang memeluk Islam berduyun-duyun, patung dan berhala telah dipecahkan, wanita-wanita sudah menutup aurat, kaum lelaki pun telah mendirikan solat…
Di tengah ribuan manusia itu, kelihatan pula Zul datang menemui Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam), Baginda pun senyum kepadanya dengan sedikit marah, Zul terus berkata: “Asyhadu An Laa Ilaaha Illa Allah, Wa Asyhadu Annaka Rasulullah”
Demikian berakhirnya kisah ini… namun masih ada sebaris catatan yang dikatakan oleh perawi hadis ini, iaitu:
“Aku melihat Zul Jaushan menggigit jarinya kerana dia tidak menjadi orang yang pertama”
Fahamkah kita? Sudahkah sampai pemahaman itu kedalam hati kita semua?
Nabi (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) ada mengatakan: “Ibadah pada waktu haraj sama seperti hijrah dari Makkah ke Madinah” maksudnya ialah beribadah kepada Allah pada waktu orang-orang lain sedang menjauhi Nya, pahalanya sama dengan pahala hijrah dari Makkah ke Madinah. Anda lihatlah pahala yang sangat besar itu.
Masih ada satu pertanyaan untuk anda: “Mahukah anda menjadi orang yang pertama?”
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu bangsa, sehinggalah bangsa itu mengubah keadaan mereka sendiri" (Al-Quran, Surah Al-Raad:11)
